Saturday, April 4, 2009

Malam Kian Larut

Malam bergerak perlahan, rasanya. Jarum jam menunjukkan pukul 10 malam. Faizal masih menunggu isyarat daripada Filzah sama ada line clear atau tidak. Sejak jam 8.00 pagi tadi Filzah keluar ke Kuala Lumpur atau entah ke mana bersama Amirul. Amirul datang dari bandar KN sejak semalam. Tiga hari ini Filzah akan bersama Amirul. Filzah telah memaklumkan hal ini kepada Faizal. Mahu tidak mahu, Faizal menerima hakikat itu. Dia terpaksa reda kerana dia sedar cintanya dimadu oleh Filzah.
Sudah beberapa kali Faizal melihat jam di tangannya. Hatinya meronta-ronta untuk menghantar mesej atau miss call kepada Filzah. Tapi dia membendung rontaan itu agar peristiwa tahun lepas tidak berulang.
Peristiwa tahu lalu mencetuskan perang besar antara dia dengan Filzah dan sekaligus dengan Amirul. Peristiwa itu berlagu pada bulan Ogos, sempena Filzah meraikan ulang tahun kelahiran Amirul.
Faizal menelefon Filzah, tetapi Amirul yang menjawab.
“Apa hak kau nak marah-marah dengan dia?” garang sekali suara Amirul
Tergamam juga Faizal dibuatnya. Tengah tercari-cari jawapan yang agak logik, tiba-tiba Faizal menjawab “dia buah hati saya.”
“Heh, kau jangan merepeklah. Kau ni siapa? Kau gilakah?” balas Amirul.
Faizal tergelak dengan nada mengejek.
“Aku tak pernah jumpa orang macam kau ni lah. Sedarlah diri tu…. Kau ingat dia tu suka kalau awak call dia?”
Faizal diam cuma. Dia tidak mahu menyemarakkan api kemarahan Amirul.
“Kenapa diam?”
“Dia di mana?”
“Kenapa kau nak tahu? Apa hak kau? Kau tahu tak, kau tak ada hak nak tahu.”
“Memang saya tiada hak. Awak pun tiada hak. Tapi saya nak pastikan dia sekarang dalam keadaan selamat. Itu sahaja.”
“Kau tak percayakan akukah?”
“Percaya juga tapi saya tak percaya seratus peratus sebab awak bukannya malaikat. Dan awak pun pernah….” Faizal tidak sampai hati untuk meneruskan kata-katanya. Api kemarahan yang membakar dadanya kian padam.
“Sekejap lagi aku hantar dia baliklah…”
Lamunan Faizal terganggu apabila skrin henfon 3G-nya berkelip-kelip. Ada mesej masuk. Filzah menghantar mesej yang Faizal sendiri tidak tahu maknanya. Namun dia faham, itu tandanya line clear, Filzah sudah boleh dihubungi.
Di mana?
Bilik.
Kenapa awal balik.
Tak ada apa. Ada kerja nak buat.
Online malam ni?
Boleh juga….
Mereka terus berbalas mesej. Malam itu mereka chating seperti biasa. Sambil chating dengan Faizal, Filzah bergayut pula dengan Amirul yang bersendirian di bilik hotel. Dengan henfonnya yang satu lagi, Amirul pula berbalas mesej dengan Erlina, teman sekolej yang kian akrab.

No comments: