Thursday, September 24, 2009

Filzah: Hari Bersejarah

Hari raya tahun ini merupakan hari raya yang paling bermakna bagi diriku. Dan akan kucatat dalam diariku, hari ini ialah hari bersejarah dan hari yang paling membahagiakan aku. Aku tidak pernah berasa sebahagia ini. Sejak malam lagi aku tidak dapat melelapkan mata, memikirkan bagaimana dan apa yang akan berlaku hari ini. Bagaimana penampilan dia hari ini? Macam mana pula penerimaaan keluargaku terhadap dia. Harap-harap dia menyenangkan dan pandai mengambil hati emak dan ayahku. Dalam bimbang cemas itu, aku yakin dia pandai membawa diri. Lagipun aku sudah memberikan beberapa latar belakang tentang emak dan ayahku agar dia tidak kekok dan tersilap cara. Tip-tip untuk menambat hati bakal mentua juga aku telah bisikkan ke telinganya.
Pagi-pagi lagi emak mengejutkan aku agar mengemas dan menghias rumah sepatutnya. Emak menyuruh aku memasak nasi untuk Amirul. Baiklah, aku akan memasak lauk istimewa hari ini. Biarlah dia merasa masakanku hari ini. Alahai… bahagianya!
Ayahku memang teringin sangat berkenalan dengan dia. Emak selalu menyampaikan hasrat ayah itu kepadaku. Namun aku belum bersedia untuk mengizinkan dia bertandang ke rumah, begitu juga dia. Namun hari raya tahun ini aku yakin dia sudah boleh meyakinkan emak dan ayahku bahawa dia memang serius, memang bersungguh-sugguh, dan memang bertanggungjawab untuk menjadi teman hidupku yang sah suatu hari nanti.
Dengan kedatangannya hari ini, emak dan ayah tentu lebih senang hati dan tidak perlu bimbang lagi, tidak bimbang aku akan jatuh hati kepada Faizal.
“Emak bukan tak percaya pada awak, tetapi emak bimbang awak jatuh hati pada dia. Sebab itu, ayah sering menangis memikirkan awak dengan dia,” jelas emak pada suatu hari apabila emak tahu bahawa aku keluar dengan Faizal, dan Faizal yang menghantar aku sampai ke Airport hari itu.
“Kenapa selama ini emak dan ayah tak menghalang kami? Emak dan ayah seolah-olah membenarkan dan menggalakkan saya bersama-sama dia, emak dan ayah memberi ruang untuk kami lebih rapat. Dan akhirnya saya jatuh hati kepadanya.” Filzah tidak tergamak untuk meluahkan rasa hatinya. Biarlah itu semua menjadi rahsia peribadinya.
Aku mengadukan hal ini kepada Faizal. Faizal tersenyum. Mungkin terdetik di hatinya…. Hanya kau yang tahu.
Bunyi henfon mengejutkan aku yang terlena sejak maghrib tadi. Sepanjang hari ini aku sakit kepala. Namun aku tidak mengadukan sakitku itu kepada Faizal sebagaimana biasa. Fikiranku lebih berfokus kepada Amirul sejak sehari dua ini. Faizal tersingkir sedikit.
Faizal tidak berkata apa-apa. Aku tahu, dia sedih dengan kehadiran Amirul hari ini. Semalam, apabila aku memberitahunya bahawa aku pergi menziarahi kubur datuk dan nenekku di kampung, dia menghantar sms “kubur ialah penghujung kehidupan kita. Nokhtah perjalanan kita. Dan kita pun telah berjalan semakin jauh, semakin menghampiri kubur. Akhirnya, kita akan berhenti juga dan mungkin kita akan menemui sebuah kubur tanpa nisan tidak lama lagi.”
“Apa maksud tanpa nisan?” Aku membalas sms-nya.
“Kubur yang tidak nampak, tiada siapa yang tahu kecuali simati sahaja.”
“Kenapa cakap macam itu?”
“Entahlah, tetapi itu yang aku rasa kini.”
Sejak kunjungan Amirul menghadap emak dan ayah, Amirul tidak pernah menghantar sms yang indah-indah lagi. Barangkali dia terjauh hati. Barang kali dia mula sedar diri. Barang kali dia akan mengundurkan diri. Barangkali dia tidak mahu mengganggu aku lagi.
Aku duduk bersendirian kini. Gembira dan bahagia sangat apabila teringat akan kejujuran Amirul bertandang ke rumah. Senang hati snagat kerana emak dan ayah nampaknya menyenangi Amirul. Ayah selalu memuji-muji Amirul. Bahagianya aku....
Namun, aku kian serba salah. Aku masih belum dapat melupakan Faizal, aku masih memerlukan kasih sayangnya jua. Faizal ada keistimewaan tersendiri, begitu juga Amirul ada kelebihan dan direstui emak dan ayah.
Aku cuba memujuk Faizal. Namun Faizal kian menyepi. Akan kehilangankah aku akan dia?
Perlahan-lahan air mataku mengalir tanpa kusedari.