Wednesday, April 15, 2009

Apabila Lampu Padam....

Memang beginilah kehidupan. Dunia ini hanya sebagai pentas, dan Tuhanlah yang menentukan skripnya, manakala otak dan hati kita yang mengarahkan lakonan kehidupan ini. Apabila tirai ditutup, maka berakhirlah sebuah drama, tamatlah sebuah kehidupan. Dan apabila lampu padam, berakhirlah sebuah dunia yang fana ini.Kita akan bertemu sama ada di syurga atau di neraka.
Kehidupan ini memang indah, seronok tetapi amat mencabar. Hanya orang yang berani dan tabah sahaja yang akan berjaya, yang akan menang. Namun, kata Albert Einstein, janganlah anda berusaha untuk menjadi orang yang berjaya, tetapi berusahalah untuk menjadi orang yang berguna. Waoooo… hebat dan mendalam maksudnya itu.
Faizal masih termenung. Itu bukan kali pertama, sejak sekian lama; termenung dan mengelamun ialah hobi dan sebahagian rutin kehidupannya. Baginya, termenung dan berimaginasi amat penting dalam kehidupan. Masih juga dia ingat suatu premis dalam buku Napoleon Hill tentang pemikiran persuasif yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejayaan ialah kuasa imaginasi! Pernah juga dia berangan untuk menjadi ahli falsafah, namun belum kesampaian. Yang kesampaian kini, dia hanya menjadi ahli falasampah….
Dalam imaginasi yang jauh itu, teringat Faizal akan tangis sedu seorang teman lama. Teman lama yang sedang menyiapkan tesis sarjana falsafah. Tempoh biasiswanya hampir tamat, namun tesisnya belum siap. Justeru, dia meminta pertolongan untuk menyelesaikannya. Biarpun tidak berterus terang, namun Faizal tahu akan maksud isi hati temannya itu.
Bukan aku tak nak tolong… keluh Faizal dalam hati. Ini bukan kerja mudah, bukan boleh buat cincai dan sambil lewa sahaja. Ini kena perah otak, kena fokus, perlukan sinergi yang bukan sedikit!
“Tolonglah dia kalau abang boleh tolong. Saya tau awak memang ada kelebihan. Mungkin dia dah tak ada sesiapa lagi yang boleh tolong….”
Teringat Faizal akan kata-kata Filzah. Barangkali Filzah dapat merasakan betapa sukar dan sedihnya perasaan Etiqa ketika itu.
“Bukan abang tak nak tolong….” Faizal menimbang-nimbang, perlukan dia meluahkan siratan rasa dalam hatinya secara berterus terang. “Sebenarnya saya tak suka, orang mencari saya apabila saya diperlukan. Abang rasa orang lain pun begitu juga…. Abang penatlah…. Tapi kalau cakap penat nanti orang kata kita ni tak ikhlas….”
Hening seketika senja itu.
“Di dunia ni, mana ada orang yang ikhlas? Kadang-kadang tu adalah… kadang-kadang pun ada juga orang yang sembahyang tapi tak ikhlas. Yang ikhlas tu biasanya emak dan ayah kita sahaja. Anak-anak pun adakalanya tak ikhlas. Betul tak apa yang abang cakap ni?”
“Mungkin juga,” begitulah ringkasnya ungkapan tanda sokongan. Jarang sekali Filzah menolak pendapat atau lontaran idea Faizal. Biarpun sering besifat radikal, kontroversi dan provokasi, idea dan pemikiran Faizal sering juga sehala dengan Filzah. Dan di sinilah sebenarnya titik persamaan yang mengikat mereka berdua.
Dengan ikatan itu, dan dengan kebijaksanaan dan keistimewaan Filzah, Faizal sering memperoleh sinergi yang kuar biasa!
Namun begitu, masalah Etiqa masih bersemadi di benak Faizal. Ya, aku akan berusaha untuk menjadi orang yang berguna. Dan kejayaan, insya-Allah akan menunggu aku di penghujung sana. Apalah ertinya kehidupan ini jika diri kita tiada manfaat kepada orang lain?

(Teks ini belum diedit)

No comments: