Wednesday, June 30, 2010

Kian Curiga

AMIRUL termenung, merenung jauh; sesekali ke utara, sesekali ke timur, sesekali ke tengah-tengah kota raya. Dalam menung yang panjang itu, wajah Filzah dibawanya bersama. Filzah ada di mana-mana; di sana, di sini, di desa, di kota, di ladang, di gunung, di lurah….
Hasrat untuk memiliki Filzah yang berdetik sejak di bangku sekolah lagi kian membara kini apatah lagi Filzah merupakan seorang gadis yang berjaya ke menara gading. Filzah juga semakin anggun, semakin matang, semakin menjadi idaman ramai lelaki. Kadang-kadang popularity Filzah menyebabkan dia menjadi bimbang. Apatah lagi Filzah diminati oleh ramai lelaki yang hebat-hebat, termasuklah pensyarahnya.
Wajarkah aku menghalangnya daripada berkenalan dan berkawan dengan orang lain? Tiba-tiba itu yang terdetik di hatinya. Rasa cemburu kian membuak-buak, bisikan syaitan kian bertiup di telinganya.
“Berkawan dengan orang lain salah ke?” ungkap Filzah pada suatu hari tatkala mereka menikmati ayam goreng di Bandar itu.
“Tak salah, tetapi abang bimbang.”
“Bukankah saya dah janji, dan kita pun sudah melalui bermacam-macam…. Dan kita pun….”
“Awak tahu tak, abang sering kecewa, kecil hati….”
“Teruskanlah, saya sedia mendengar.”

Tuesday, June 29, 2010

Puisi Dinihari Untukmu

Diari Faezal telah lama tercampak entah ke mana. Segala-galanya hanya tercatat dalam minda. Telah lama dia melupakan Filzah; sejak Perang Dunia III antara Filzah dengan Amirul tercetus. Kini perang itu telah damai, yang tinggal hanyalah debu-debu bak kemusnahan Hiroshima. Faezal melarikan diri ke langit, berselimutkan awan dan sambil memeluk bintang-bintang tatkala dinihari. Dengan penanya yang agak usang, dia melakarkan kenangan dan cerita diri dalam "puisi dinihari":

Terbang ke sangkarmu
dan masuk
kerana kau membukakan sisip pintunya
sambil menghulurkan tangan
menggenggam senyum yang malu-malu
kausorokkannya di dalam mangkuk padi huma
kegemaran sang tempua
yang seringnya bersarang tinggi
dan kini kita terperangkap
di dalam sangkar anugerah Illahi itu.

Harap-harap, apabila siang esok, Filzah terbangun lantas mencapai nota puisi ini yang ditiipkannya melalui burung yang terbang pagi.