Wednesday, December 30, 2009

Kian pudar, kian hambar....

Pagi itu suatu pertemuan yang tidak dijangka telah terjadi. Faezal membawa Filzah bersiar-siar di sebuah bandar baru di utara tanah air. Seperti biasa, lazimnya dua insan yang berada di sangkar cinta, begitulah mereka.
Setelah puas dan melangsai rindu, mereka berpisah lagi. Faezal menghantar Filzah ke terminal untuk kembali ke kampus. Manakala Faezal meneruskan perjalanannya.
Pemanduan sepanjang hari memang meletihkan. Dan keletihan itu diadukan kepada Filzah kerana dengan itu Faezal bagaikan mendapat sinergi.
Namun pada lewat senja hingga ke malam, aduan Faezal langsung tiada respons daripada Filzah. Sampai ke pagi, Filzah senyap dan mematikan diri. Filzah telah menukar simkad Maxis kepada simkad dG. Tahulah Faezal bahawa Filzah sedang mengarang bunga kasih dengan Amirul. Bara api kian menyala di dada Faezal; terasa dirinya dipermainkan disingkirkan setelah dia “tidak diperlukan” lagi.
Lantas, Faezal pun mengambil tekad untuk menjauhkan dan meninggalkan Filzah. Dua hari Faezal mendiamkan diri; sms dan panggilan Filzah tidak diendahkan. Berpuluh-puluh nota maaf dan penyesalan dikirimkan oleh Filzah.
Pun begitu, hati Faezal kian tawar dan rasa kasihnya pada Filzah kian luntur dek sikap Filzah yang sering melupakan dirinya tatkala dia “bersama” Amirul. Faezal terus memancangkan klausa negatif “kau hanya mencari aku ketika kau susah, bila kau senang kau mencari dia”. Inilah klausa racun yang boleh memadamkan semarak bunga kasihnya.
Melalui gMail, Faezal mengutus sekuntum puisi penuh makna

kian kutahu siapakah aku di hatimu
bilakah kau mencariku
kerana kabahagiaanmu bukan padaku
maaf kerana aku hanya mengganggu
kebahagiaan dan keharmonianmu
dan izinkan aku mencari akarku
mengorak langkahku
menuju arahku

Di bilik Filzah berasa gelisah. Mata tidak mudah terlelap, nasi tidak mudah dijamah lagi. Dia benar-benar terasa kehilangan Faezal; baru dia sedar betapa hakikatnya dia masih memerlukan khadiran dan cinta Faezal dalam hidupnya. Setelah gagal mencari dan menghubungi Faezal, dia pun membuka gMail dan membalas puisi Faezal tadi sambil disaksikan air mata pilu yang sukar dinyatakan.

mungkin kini..
aku lah orang yang kau tetapkan
sebagai insan yang melupakanmu
saat ada yang lebih bahagia
tapi....
hanya dengan kesilapan itu
membuatkan kau lupa siapa hati ini
biarlah.. aku tak peduli
kerana kau berhak menghukum..
kelak.. kau akan tahu
siapa yang paling peduli
yang ada dalam hati
yang membawa suka dan duka
yang mengundang sayang dan marah
yang menyakitkan dan menyenangkan
yang selalu ada dan tak pernah pergi
jika kau kenal siapa hati ini
pasti kau kan tahu..
kebahagianku ada padamu..

by..aku..

Saturday, November 21, 2009

Filzah: Dugaan itu Datang lagi

Aku tidak menyangka sama sekali ini yang akan berlaku. Sesungguhnya ini satu dugaan lagi. Aku hampir tidak mampu melarikan diri. Aku memang menolak pelawaan itu, tapi aku terpaksa menolaknya dengan berhemah, dengan berbudi bahasa. Tidak mahu mengguris atau mencalarkan hati sesiapa.
Beginilah hakikat wanita. Wanita yang sering dipersalahkan dalam hal-hal begini. Namun aku mesti bertegas dalam kelembutanku yang seringkali disalah tafsir ini.
“Saya nak ajak awak keluar makan esok. Boleh ya?”
Tergamam aku oleh pelawaan itu. Pun begitu, aku masih menganggapnya sebagai satu ajak-ajak ayam dan gurau sahaja.
“Hmm... pergi makan? Di mana?” Aku cuba menjawabnya dengan sehalus mungkin. Dalam kepalaku, akau akan mengajak Kakak menemani aku supaya aku tidak kekok apabila bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.
Aku tidak menolak dan tidak menyiakan, akhirnya.
Malam itu, aku meminta pandangan Faizal. Dia juga seakan-akan terkejut. Namun, dia tiada halangan. Dia juga mengenali Hamad, seorang tahfiz yang disegani.
Tidak lama kemudian, Hamad menelefon aku. Daripada ayat-ayatnya, aku mentafsirkan bahawa dia akan keluar seorang dan dia mengharapkan aku juga seorang diri. Aduhai..... aku kian serba salah. Aku kian keliru. Aku kian rimas, kian berperasangka....
“Mana boleh saya jumpa ustaz? Nanti apa kata orang? Lagipun saya tak biasa buat macam itu....”
“Baiklah. Saya faham. Kalau begitu, kita jumpa di Melaka atau di Kuala Lumpur sahaja. Nanti saya tunggu...”
Aku kian cemas. Aku mencipta dalih yang boleh dijadikan alas an untuk memutuskan perbualan. Dan akhirnya aku mematikan henfonku dengan sopan.
“Aduh... pening, pening!” keluhku dalam hati.
Seperti biasa, aku segera mengadu kepada Faizal. Faizal gelak-gelak. Aku tak faham apa maksudnya. Dia memberikan pandangannya tanpa prejudis, namun penuh dengan kasih sayang dan lojik sekali.
Malam keesokan harinya, Hamad menelefon aku lagi. Namun aku sudah mengeraskan hati, aku tidak akan keluar dengannya. Aku juga mendapat nasihat emak dan kakakku untuk lebih berhati-hati. Faizal juga melarang aku. Aku gembira, aku mendapat kekuatan menghadapi dugaan ini biarpun secara halus aku menghampakan Hamad al-Hafiz.
Dinihari, aku sujud bertaubat, menadah tangan memohon kekuatan daripada-Nya untuk menghadapi dugaan yang tidak jemu-jemu menyerangku. Dan akhirnya aku terlena di atas sejadah.
Ya Allah, kau ampunilah segala dosaku. Kau kurniakanlah kekuatan kepadaku, hamba-Mu yang kerdil dan lemah ini, ya Allah....

Thursday, November 12, 2009

Faizal: Perlukah Aku Curiga Lagi?

Aku yakin kini. Hari ini telah membuktikan bahawa dia memang menyayangi aku, biarpun dia tidak pernah mengungkapkannya. Benar-banar terasa bahawa ada rindu yang bermaustatin di jiwanya biarpun dia tidak pernah menyerlahkannya.
Pertemuanku dengannya pada petang ini, biarpun agak singkat tetapi penuh bermakna. Dalam kepayahan mengharung onak duri, dia masih sanggup menemuiku dengan menyerahkan sekuntum bunga cinta yang mekar indah dalam gelap.
Setibanya aku di airport, dia sudah menungguku. Aku agak lambat tadi kerana jalan sesak dan terpaksa singgah di stesen petrol. Kebetulan pula pesawat yang dinaikinya mendarat lebih awal daripada yang dijadualkan.
Terima kasih, Filzah. Terharu sangat aku. Dan percayalah, aku akan menghargaimu lebih daripada sebelum ini.

Thursday, November 5, 2009

Maafkan Saya

Malam ini, kami berselisih faham lagi. Pun begitu, seperti biasa konfrontasi kecil-kecilan kami tidak pernah berlarutan. Paling lama setengah hari sahaja. Kami akan cube untuk menyelesaikan apa jua masalah dengan segera. Telus dan berterus terang. Mana-mana yang tidak jelas atau terbuku di dada, akan kami nyatakan, akan kami luahkan. Inilah prinsip komunikasi kami – tidak ingin menyimpan rasa, tidak ingin memeram dendam yang akhirnya tiada sesiapa jua yang untung.
Sebentar tadi, Faizal terasa hati kerana YM-nya lambat dibalas oleh Filzah. Faizal mengutus mesej melalui henfon, tetapi “pending”. Tahulah faizal bahawa Filzah sedang bergayut dengan Amirul menggunakan simkad lain. Faizal tidak menghalang, tetapi dia lebih suka kalau Filzah berterus terang.
Akhirnya, kami bermaafan sebagaimana selalunya.

Thursday, September 24, 2009

Filzah: Hari Bersejarah

Hari raya tahun ini merupakan hari raya yang paling bermakna bagi diriku. Dan akan kucatat dalam diariku, hari ini ialah hari bersejarah dan hari yang paling membahagiakan aku. Aku tidak pernah berasa sebahagia ini. Sejak malam lagi aku tidak dapat melelapkan mata, memikirkan bagaimana dan apa yang akan berlaku hari ini. Bagaimana penampilan dia hari ini? Macam mana pula penerimaaan keluargaku terhadap dia. Harap-harap dia menyenangkan dan pandai mengambil hati emak dan ayahku. Dalam bimbang cemas itu, aku yakin dia pandai membawa diri. Lagipun aku sudah memberikan beberapa latar belakang tentang emak dan ayahku agar dia tidak kekok dan tersilap cara. Tip-tip untuk menambat hati bakal mentua juga aku telah bisikkan ke telinganya.
Pagi-pagi lagi emak mengejutkan aku agar mengemas dan menghias rumah sepatutnya. Emak menyuruh aku memasak nasi untuk Amirul. Baiklah, aku akan memasak lauk istimewa hari ini. Biarlah dia merasa masakanku hari ini. Alahai… bahagianya!
Ayahku memang teringin sangat berkenalan dengan dia. Emak selalu menyampaikan hasrat ayah itu kepadaku. Namun aku belum bersedia untuk mengizinkan dia bertandang ke rumah, begitu juga dia. Namun hari raya tahun ini aku yakin dia sudah boleh meyakinkan emak dan ayahku bahawa dia memang serius, memang bersungguh-sugguh, dan memang bertanggungjawab untuk menjadi teman hidupku yang sah suatu hari nanti.
Dengan kedatangannya hari ini, emak dan ayah tentu lebih senang hati dan tidak perlu bimbang lagi, tidak bimbang aku akan jatuh hati kepada Faizal.
“Emak bukan tak percaya pada awak, tetapi emak bimbang awak jatuh hati pada dia. Sebab itu, ayah sering menangis memikirkan awak dengan dia,” jelas emak pada suatu hari apabila emak tahu bahawa aku keluar dengan Faizal, dan Faizal yang menghantar aku sampai ke Airport hari itu.
“Kenapa selama ini emak dan ayah tak menghalang kami? Emak dan ayah seolah-olah membenarkan dan menggalakkan saya bersama-sama dia, emak dan ayah memberi ruang untuk kami lebih rapat. Dan akhirnya saya jatuh hati kepadanya.” Filzah tidak tergamak untuk meluahkan rasa hatinya. Biarlah itu semua menjadi rahsia peribadinya.
Aku mengadukan hal ini kepada Faizal. Faizal tersenyum. Mungkin terdetik di hatinya…. Hanya kau yang tahu.
Bunyi henfon mengejutkan aku yang terlena sejak maghrib tadi. Sepanjang hari ini aku sakit kepala. Namun aku tidak mengadukan sakitku itu kepada Faizal sebagaimana biasa. Fikiranku lebih berfokus kepada Amirul sejak sehari dua ini. Faizal tersingkir sedikit.
Faizal tidak berkata apa-apa. Aku tahu, dia sedih dengan kehadiran Amirul hari ini. Semalam, apabila aku memberitahunya bahawa aku pergi menziarahi kubur datuk dan nenekku di kampung, dia menghantar sms “kubur ialah penghujung kehidupan kita. Nokhtah perjalanan kita. Dan kita pun telah berjalan semakin jauh, semakin menghampiri kubur. Akhirnya, kita akan berhenti juga dan mungkin kita akan menemui sebuah kubur tanpa nisan tidak lama lagi.”
“Apa maksud tanpa nisan?” Aku membalas sms-nya.
“Kubur yang tidak nampak, tiada siapa yang tahu kecuali simati sahaja.”
“Kenapa cakap macam itu?”
“Entahlah, tetapi itu yang aku rasa kini.”
Sejak kunjungan Amirul menghadap emak dan ayah, Amirul tidak pernah menghantar sms yang indah-indah lagi. Barangkali dia terjauh hati. Barang kali dia mula sedar diri. Barang kali dia akan mengundurkan diri. Barangkali dia tidak mahu mengganggu aku lagi.
Aku duduk bersendirian kini. Gembira dan bahagia sangat apabila teringat akan kejujuran Amirul bertandang ke rumah. Senang hati snagat kerana emak dan ayah nampaknya menyenangi Amirul. Ayah selalu memuji-muji Amirul. Bahagianya aku....
Namun, aku kian serba salah. Aku masih belum dapat melupakan Faizal, aku masih memerlukan kasih sayangnya jua. Faizal ada keistimewaan tersendiri, begitu juga Amirul ada kelebihan dan direstui emak dan ayah.
Aku cuba memujuk Faizal. Namun Faizal kian menyepi. Akan kehilangankah aku akan dia?
Perlahan-lahan air mataku mengalir tanpa kusedari.

Tuesday, August 25, 2009

Sepi lagi

Sedih. Hanya dia yang merasakan kesedihan yang tak terucap itu. Faezah baru baru sahaja meminta Faizal mengembalikan puisi sajak yang diciptakirimkan minggu lepas.

Monday, July 20, 2009

Dua Jiwa Satu Hati

Sukarnya kunyatakanperasaanku padamu
yang semakin menebal
bersemi di kalbuku
sungguhpun demikian
terpaksa ku terima
hakikat yang sebenar
diri ini sebenarnya dicintai
beratnya hati ini
untuk melepaskanmu
sudah pasti kau juga
dan andai ku pilihmu
jadi kekasihku
bagaimana dengan dia
yang terdahulu menyintaiku
sungguhku serba salah tak menentu
mengapa semua ini yg terjadi
pastiku menyendiri dari meluka keduanya
tak mungkin kan terjadi
dua jiwa satu hati

Begitulah puisi yang dihantar kepada Faizal tatkala Filzah berjauhan dengannya. Faizal perasan, cinta Filzah terhadapnya kian menebal.
Sering juga Amirul tergelincir dari landasan hatinya. Sering juga Amirul terlepas dari rantai perasaannya, apatah lagi tatkala dia bersama-sama Faizal sehingga ke Langkawi ketika musim panas tempoh hari. Menaiki kereta bersama Faizal, sepanjang perjalanan ke pulau syurga itu memang cukup membahagiakan. Pun begitu, ada secebis buah tangan untuk Amirul sebagai tanda ingatan yang masih bersemadi di sudut hatinya.
“Tak belikan dia oleh-oleh ke?”
“Tak payahlah….”
“Jangan begitu, tak baik tau…. Belikanlah apa-apa sebagai tanda ingatan.”
Filzah diam sahaja.
“Belilah apa-apa pun…. Hmmmmm…. Tak mengapa, biar abang sponsor ya?”
“Tak usahlah….”
“Ha…. Belikan dia minyak wangi….”
“Mahal sangat….” Filzah tidak mahu duit Faizal habis kerananya. Meskipun Faizal tidak berkira tentang duit dan apa juga yang diberikan kepada Filzah, namun Filzah sentiasa berhati-hati dan berhemah apabila menggunakan duit Faizal. Filzah bukanlah perempuan pisau cukur. Dia menerima apa-apa juga seadanya yang diberikan oleh Faizal.
“Hmmm… beli coklat je la….” Cadang Filzah.
“Terserah. Yang penting ada oleh-oleh.”
Meskipun sekadar sekeping coklat, buah tangan itu besar ertinya bagi Amirul. Apatah lagi dapat menikmati coklat import di pinggir air terjun yang nyaman itu. Dengan kereta barunya, Amirul bersiar-siar sepanjang hari dari kota Semangat ke lembah perkampungan orang Asal yang menyuguhkan keindahan alam.

Thursday, June 11, 2009

Hari Ini dalam Sejarah

Hari ini dalam sejarah, bisik hati Faizal apabila teringat peristiwa malam tadi. Malam tadi dia menerima miss call sebanyak 37 kali daripada Amirul. Dia sengaja tidak menjawab panggilan Amirul kerana Filzah bersama-samanya mengharungi dunia fana yang menyeronokkan ini.
Amirul mendapat maklumat buah hatinya bersama Faizal malam tadi. Ya, memang benar. Dia menghubung Filzah, tetapi Filzah tutup hanfonnya. Tutup hanfon boleh memungkinkan bateri habis. Atau ada masalah teknikal. Itu hujah yang mudah dan sukar untuk dibuktikan dan juga disangkal.
Filzah bukanlah tidak baik, tetapi dia telah terperangkap dalam dua cinta. Kedua-duanya ada makna, ada cerita dan ada rasa. Kedua-duanya perlu, tetapi untuk berkahwin dengan Faizal tidak mungkin baginya.
Dia sudah berjanji sehidup semati dengan Amirul. Faizal faham semua itu. Biarpun Amirul lelaki pertama bertakhta di hati Filzah, namun Faizal masih boleh berbangga kerana dia adalah lelaki pertama yang …. menjadi rahsia dalam hidup Filzah. Faizal lelaki pertama yang sampai ke puncak Gunung Tahan; yang pertama terjun ke Tasik Idaman; yang pertama menghisap daun tembakau Virginia; dan yang pertama menghirup sup panas di dalam periuk tembaga. Begitulah catatan dalam diari seorang wanita idaman sejuta lelaki.

Friday, May 8, 2009

Berilah Aku Peluang....

Malam ini Filzah berada di sebuah kota, di timur tanah air. Dia berkunjung ke rumah saudaranya di kota itu sebaik sahaja peperiksaan akhir habis dua hari yang lalu. Sambil menziarahi saudara, dapat juga dia bertemu dengan Amirul yang kebetulan menyambung pengajiannya di sebuah kolej dalam jurusan kejuruteraan lanjutan. Mengikut jadualnya, dia berada di kota itu selama tiga hari.
Esok petang dia akan pulang ke kampung. Begitulah maklumat yang disampaikannya kepada Faizal. Dia juga berjanji akan bertemu dengan Faizal setibanya di airport. Faizal juga sudah berjanji akan menunggu ketibaan Filzah biarpun lewat malam. Faizal sudah mengosongkan jadual hariannya, malah telah pun membatalkan satu janji temu yang tidak kurang pentingnya.
“Saya terpaksa balik lewat esok. Tak perlulah tunggu saya. Maaf.” Faizal baru sahaja menerima mesej SMS itu.
Dengan hati yang terbuka dan terpaksa tenang, Faizal menelan mesej itu serasa-rasanya. Sudah lama dia belajar dan berlatih untuk menjadi lelaki yang gagah dan berstamina emosi dan inteleknya. Dia telah mengenali Filzah begitu lama; kenal jiwa dan raganya!
Faizal masih ingat tentang diri Filzah yang dilahirkan dalam bulan November. Menurut buku itu, iaitu menurut kajian metafizik, Filzah mempunyai ciri-ciri seorang wanita yang banyak idea dalam sesuatu perkara; perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-rubah; cara berfikir lain dari orang lain berfikiran kehadapan, unik, banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra; sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia; amanah, dan pandai berahsia; tidak hargai pujian; bercita-cita tinggi; terlalu degil dan keras hati; apabila hendak akan diusahakan sehingga berjaya; kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi kepada sesuatu kehendak; pandai mendorong diri sendiri; berani, pemurah, dan banyak kesabaran mudah ambil berat terhadap orang lain; tak suka marah kecuali tergugat; tidak pasti dengan imbangan kasih sayang; dan tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi. Berdasarkan pengamatan Faizal, ciri-citi itu memang ada pada Filzah. Faizal juga faham, Filzah perlu berada di sisi Amirul tatkala ini untuk memberikan semangat dan sinergi kepada Amirul yang sedang menghadapi peperiksaan kini. Subjek Amirul bukan subjek main-mainan yang boleh dihadapi dengan sambil lewa. Dengan ilmu dan ijazah itu nantilah yang akan membentuk masa depan dan kebahagiaan mereka berdua. Tanpa ijazah itu nanti, siapalah Amirul pada ayahanda dan bonda serta keluarga Filzah yang berpendidikan tinggi.
Bagi Amirul, ijazah yang akn diraihnya nanti akan meletakkan dirinya setaraf dan mungkin lebih tinggi dengan Filzah yang berjaya sampai ke menara gading. Dia sedar, tanpa ijazah pada zaman yang serba moden ini, seolah-olah menampilkan imej lelaki yang kurang berjaya, yang kurang daya saing, dan yang kurang cemerlang. Dia juga sedar, seorang suami yang taraf pendidikannya lebih rendah daripada isteri, kemungkinan rasa rendah diri akan memenjarakan jiwa sang suami. Apatah lagi kalau suami tidak berkerjaya – mereka hanya layak duduk di dapur! Hinakah suami bekerja di dapur? Bukankah kerja-kerja di dapur itu sememangnya kewajipan si suami? Masih teringat dia akan kata-kata Ustaz Sulaiman ketika belajar di sekolah agama Arab beberapa tahun yang lalu.
“Ustaz, apa hukumnya suami yang malas bekerja dan asyik meminta duit isterinya?” Zulaikhah berdiri, mengajukan soalan itu kepada Ustaz Sulaiman.
Serentak dengan itu, pelajar-pelajar lelaki “mengeboo” Zulaikhah.
“Hukumnya haram, berdosa.”
“Tapi sekarang ni ramai lelaki yang malas, ustaz!”
Sekali lagi pelajar lelaki “mengeboo” Zulaikhah.
“Awak nanti, janganlah pilih lelaki yang malas menjadi suami awak!” jawab Ustaz sulaiman, bergurau.
Amirul menjeling Filzah yang duduk selari dengannya. Filzah senyum, suka dan bahagia. Tapi aku tak malas, bisik hati Amirul seakan-akan didengari oleh Filzah. Aku akan buktikan, aku akan menjadi suamimu yang baik dan rajin nanti! Percayalah…. Berilah aku peluang; peluang untuk memilikimu.
Kenangan lama hilang tiba-tiba. Amirul terkejut oleh deringan hanfon daripada Erlina. Hehehee… Erlina?

Thursday, April 16, 2009

Puisi Untukmu

Berjam-jam berhari aku boleh
membuka pintu waktu
untukmu birapun pintu itu
terlalu rapat dan sukar

tetapi sesaat pun kau tiada
waktu untuk menjenguk
pintu itu dan memandang aku
kerana kau tiada mata
sebenarnya yang bersinar
luhur untukku

cuma apabila kian senja
dan malam gelap tiba
kau teraba-raba pintu itu
dan mencari aku
yang setia menghulurkan kuncinya

Wednesday, April 15, 2009

Apabila Lampu Padam....

Memang beginilah kehidupan. Dunia ini hanya sebagai pentas, dan Tuhanlah yang menentukan skripnya, manakala otak dan hati kita yang mengarahkan lakonan kehidupan ini. Apabila tirai ditutup, maka berakhirlah sebuah drama, tamatlah sebuah kehidupan. Dan apabila lampu padam, berakhirlah sebuah dunia yang fana ini.Kita akan bertemu sama ada di syurga atau di neraka.
Kehidupan ini memang indah, seronok tetapi amat mencabar. Hanya orang yang berani dan tabah sahaja yang akan berjaya, yang akan menang. Namun, kata Albert Einstein, janganlah anda berusaha untuk menjadi orang yang berjaya, tetapi berusahalah untuk menjadi orang yang berguna. Waoooo… hebat dan mendalam maksudnya itu.
Faizal masih termenung. Itu bukan kali pertama, sejak sekian lama; termenung dan mengelamun ialah hobi dan sebahagian rutin kehidupannya. Baginya, termenung dan berimaginasi amat penting dalam kehidupan. Masih juga dia ingat suatu premis dalam buku Napoleon Hill tentang pemikiran persuasif yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejayaan ialah kuasa imaginasi! Pernah juga dia berangan untuk menjadi ahli falsafah, namun belum kesampaian. Yang kesampaian kini, dia hanya menjadi ahli falasampah….
Dalam imaginasi yang jauh itu, teringat Faizal akan tangis sedu seorang teman lama. Teman lama yang sedang menyiapkan tesis sarjana falsafah. Tempoh biasiswanya hampir tamat, namun tesisnya belum siap. Justeru, dia meminta pertolongan untuk menyelesaikannya. Biarpun tidak berterus terang, namun Faizal tahu akan maksud isi hati temannya itu.
Bukan aku tak nak tolong… keluh Faizal dalam hati. Ini bukan kerja mudah, bukan boleh buat cincai dan sambil lewa sahaja. Ini kena perah otak, kena fokus, perlukan sinergi yang bukan sedikit!
“Tolonglah dia kalau abang boleh tolong. Saya tau awak memang ada kelebihan. Mungkin dia dah tak ada sesiapa lagi yang boleh tolong….”
Teringat Faizal akan kata-kata Filzah. Barangkali Filzah dapat merasakan betapa sukar dan sedihnya perasaan Etiqa ketika itu.
“Bukan abang tak nak tolong….” Faizal menimbang-nimbang, perlukan dia meluahkan siratan rasa dalam hatinya secara berterus terang. “Sebenarnya saya tak suka, orang mencari saya apabila saya diperlukan. Abang rasa orang lain pun begitu juga…. Abang penatlah…. Tapi kalau cakap penat nanti orang kata kita ni tak ikhlas….”
Hening seketika senja itu.
“Di dunia ni, mana ada orang yang ikhlas? Kadang-kadang tu adalah… kadang-kadang pun ada juga orang yang sembahyang tapi tak ikhlas. Yang ikhlas tu biasanya emak dan ayah kita sahaja. Anak-anak pun adakalanya tak ikhlas. Betul tak apa yang abang cakap ni?”
“Mungkin juga,” begitulah ringkasnya ungkapan tanda sokongan. Jarang sekali Filzah menolak pendapat atau lontaran idea Faizal. Biarpun sering besifat radikal, kontroversi dan provokasi, idea dan pemikiran Faizal sering juga sehala dengan Filzah. Dan di sinilah sebenarnya titik persamaan yang mengikat mereka berdua.
Dengan ikatan itu, dan dengan kebijaksanaan dan keistimewaan Filzah, Faizal sering memperoleh sinergi yang kuar biasa!
Namun begitu, masalah Etiqa masih bersemadi di benak Faizal. Ya, aku akan berusaha untuk menjadi orang yang berguna. Dan kejayaan, insya-Allah akan menunggu aku di penghujung sana. Apalah ertinya kehidupan ini jika diri kita tiada manfaat kepada orang lain?

(Teks ini belum diedit)

Saturday, April 11, 2009

Bayu Malam Semakin Dingin

Udara di tepi sungai itu memang nyaman tatkala malam begini. Meskipun malam dah larut, suasana masih ria, apatah lagi malam minggu begini. Anak-anak muda dan remaja berpasangan menganyam kasih, membuktikan cinta.
Dalam kehangatan mesra itu, tiba-tiba Amirul dikejutkan oleh panggilan masuk Filzah. Tergamam. Serba salah juga singgah di hati. Dia memandang Erlina yang kelihatan curiga.
Filzah mengadu, dia dalam ketakutan. Ketakutan dek mimpi yang menakutkan. Dia bermimpi ada objek menindihnya sebentar tadi. Dia juga sudah mengadu kepada Faizal. Dia masih ketakutan dan gigil terasa juga. Faizal menyuruh dia membaca surah Yassin.
Amirul masih teringat apa yang dia lakukan bersama Filzah minggu lepas sewaktu dia mengunjungi Filzah. Dia sedar – mungkin kesan akibat daripada aprisiasi cinta mereka berdua, justeru ada gangguan terhadap Filzah. Risau juga Amirul. Filzah juga sedar, mungkin gangguan dalam tidurnya tadi akibat pernyataan cintanya terhadap Amirul minggu lepas.
Faizal terus menghubungi Filzah, tetapi Filzah mendiamkan diri sahaja. Faizal risau. Tidurkah Filzah?
Amirul terus meluncurkan motosikalnya meredah dinihari. Sesampainya di asrama, kawan-kawan masih berborak dan bermain sms dengan kekasih masing-masing. Begitulah keadaan dan pesta hujung minggu begini. Esok boleh sambung tidur hingga ke tengah hari. Tiada siapa yang marah. Emak ayah tiada siapa yang tahu. Begitulah adat dan budaya anak-anak muda remaja kini; menyambung tidur sampai ke zuhur.
Amirul segera menelefon Filzah. Keletihan yang mencengkam sirna dek deringan henfon daripada Amirul. Dengan suara yang manja dan penuh kasih, Filzah menjawab hukuran salam Amirul. Terasa Amirul datang menemaninya malam ini.
Amirul masih ingat, memang begitulah gangguan yang selalu dialami Filzah jika mereka melakukan sesuatu yang dilarang hukum.
Malam kian sunyi, kian dingin.
“Abang pergi mana tadi?”
“Keluar makan sekejap?”
“Malam-malam buta pergi makan?”
“Kawan-kawan ajak.”
“Ye ke tu….”
“Yalah, sayang….”
“Keluar makan dengan dia ke?”
“Taklah, sayang! Abang mana ada orang lain….”
“Hmm….”
“Tak percaya ke?”
“Yalah…. Percaya!” Filzah tidak pernah mencurigai Amirul. Baginya Amirullah lelaki yang terbaik dan paling setia. Kesetiaan itu terbukti dan kekal hingga kini biarpun beberapa kali jejaknya dikesan oleh Amirul.
“Cinta ayang hanya satu, hanya pada abang. Ayang akan tunggu cinta abang sampai bila-bila. Ayang rela tidak berkahwin dengan sesiapa juga demi cinta ayang pada abang.” Ungkapan ini masih kekal termeterai dalam jiwa Amirul. Inilah ungkapan keramat yang mengikat hati Amirul hingga kini.
Dan ungkapan ini dihantar kepada Faizal sebagai amaran bahawa dia akan hanya menjadi milik Amirul. Sewaktu menerima mesej ini setahu lalu, hati dan perasaan Faizal hancur berkecai sama sekali. Sakit, pedih dan deritanya tidak tertanggung lagi. Namun Faizal berjaya memujuk hati sendiri, perlahan-lahan mengutip serpihan hati yang berkecai, mengumpulkannya menjadi satu biarpun luka dan calarnya masih jelas hingga kini. Dia yakin, suatu hari nanti Filzah akan mencari dan memerlukannya juga. Dia percaya bahawa kehidupan ini bagaikan sebuah roda.
Amirul belum tidur lagi. Dia memang mempunyai kelebihan tidur lewat biarpun esok paginya ada kuliah. Ini kekuatan Amirul sebagai pelajar kejuruteraan di sebuah kolej. Tangan kirinya masih menggenggam henfon, berbalas sms dengan Erlina. Manakala jejari tangan kanannya rancak menghantar sms kepada Filzah. Mereka bertiga bermalam minggu – menyuburkan cinta kurniaan Illahi.

Saturday, April 4, 2009

Malam Kian Larut

Malam bergerak perlahan, rasanya. Jarum jam menunjukkan pukul 10 malam. Faizal masih menunggu isyarat daripada Filzah sama ada line clear atau tidak. Sejak jam 8.00 pagi tadi Filzah keluar ke Kuala Lumpur atau entah ke mana bersama Amirul. Amirul datang dari bandar KN sejak semalam. Tiga hari ini Filzah akan bersama Amirul. Filzah telah memaklumkan hal ini kepada Faizal. Mahu tidak mahu, Faizal menerima hakikat itu. Dia terpaksa reda kerana dia sedar cintanya dimadu oleh Filzah.
Sudah beberapa kali Faizal melihat jam di tangannya. Hatinya meronta-ronta untuk menghantar mesej atau miss call kepada Filzah. Tapi dia membendung rontaan itu agar peristiwa tahun lepas tidak berulang.
Peristiwa tahu lalu mencetuskan perang besar antara dia dengan Filzah dan sekaligus dengan Amirul. Peristiwa itu berlagu pada bulan Ogos, sempena Filzah meraikan ulang tahun kelahiran Amirul.
Faizal menelefon Filzah, tetapi Amirul yang menjawab.
“Apa hak kau nak marah-marah dengan dia?” garang sekali suara Amirul
Tergamam juga Faizal dibuatnya. Tengah tercari-cari jawapan yang agak logik, tiba-tiba Faizal menjawab “dia buah hati saya.”
“Heh, kau jangan merepeklah. Kau ni siapa? Kau gilakah?” balas Amirul.
Faizal tergelak dengan nada mengejek.
“Aku tak pernah jumpa orang macam kau ni lah. Sedarlah diri tu…. Kau ingat dia tu suka kalau awak call dia?”
Faizal diam cuma. Dia tidak mahu menyemarakkan api kemarahan Amirul.
“Kenapa diam?”
“Dia di mana?”
“Kenapa kau nak tahu? Apa hak kau? Kau tahu tak, kau tak ada hak nak tahu.”
“Memang saya tiada hak. Awak pun tiada hak. Tapi saya nak pastikan dia sekarang dalam keadaan selamat. Itu sahaja.”
“Kau tak percayakan akukah?”
“Percaya juga tapi saya tak percaya seratus peratus sebab awak bukannya malaikat. Dan awak pun pernah….” Faizal tidak sampai hati untuk meneruskan kata-katanya. Api kemarahan yang membakar dadanya kian padam.
“Sekejap lagi aku hantar dia baliklah…”
Lamunan Faizal terganggu apabila skrin henfon 3G-nya berkelip-kelip. Ada mesej masuk. Filzah menghantar mesej yang Faizal sendiri tidak tahu maknanya. Namun dia faham, itu tandanya line clear, Filzah sudah boleh dihubungi.
Di mana?
Bilik.
Kenapa awal balik.
Tak ada apa. Ada kerja nak buat.
Online malam ni?
Boleh juga….
Mereka terus berbalas mesej. Malam itu mereka chating seperti biasa. Sambil chating dengan Faizal, Filzah bergayut pula dengan Amirul yang bersendirian di bilik hotel. Dengan henfonnya yang satu lagi, Amirul pula berbalas mesej dengan Erlina, teman sekolej yang kian akrab.

Wednesday, April 1, 2009

Amirul Kian Dewasa?

Panas terik petang itu. Pun begitu, angin yang bertiup nyaman mengimbangi kepanasan petang. Tidak seperti kelmarin, hujan tidak jatuh di sekitar kampus ilmu ini. Dan pada petang inilah Filzah menunggu Faizal sehabis dia berkuliah. Filzah berdiri di tepi jalan berhampiran dengan bulatan ilmu. Dengan memakai baju kurung berwarna merah coklat Filzah kelihatan terlalu anggun. Ditambah pula dengan tudung coklat yang dibelinya bersama-sama Faizal pada suatu ketika dahulu.
“Kita nak ke mana?” ujar Faizal sebaik sahaja Filzah melabuhkan punggungnya di atas sofa, kereta baru milik Faizal.
“Kita makan dulu, nak?”
“Oke. Saya pun dah lapar sangat. Kenapa tak makan dulu tadi?”
“Sengaja nak tunggu sayang.”
“Yalah….”
Faizal meluncurkan keretanya menghala ke medan selera. Dan tidak lama kemudian, sepasang kekasih gelap itu sampai ke Restoran Pitstop.
Sambil menunggu nasi goreng dan sup yang dipesan, mereka menikmati ABC.
“Kita cepat sikit. Lepas ini saya antar Izah ke shopping complex,” Faizal mengingatkan Filzah akan janjinya pada malam tadi. Malam tadi, mereka berdua keluar makan di Restoran Juara.
“Tak mengapa, masih ada masa lagi. Bukankah sekarang baru pukul 5 petang?”
“Tak lewat ke balik nanti? Nanti ada yang marah pula!
“Tak apalah!”
Cuaca semakin redup dan angin semakin dingin. Faizal dan Filzah menuju ke pusat beli belah. Namun, sebaik sahaja memasuki premis itu, wajah Filzah berubah. Berubah sebaik sahaja menerima panggilan daripada seseorang. Faizal dapat merasakan perubahan perasaan yang sedang melanda Filzah.
“Kita balik cepat, dah lewat ni.”
“Kenapa?” Faizal terkejut. “Kata tadi, nak beli itu dan ini. Kenapa tiba-tiba macam ini?”
“Tak apa. Nanti saya cari lain kali.”
Faizal mendiamkan diri. Dia membiarkan dan menurutkan sahaja kehendak Filzah. Faizal tahu, ini semua angkara panggilan daripada Amirul.
Sepanjang perjalanan pulang, Faizal meluahkan rasa tidak puas hatinya. Manakala Filzah membatu sahaja. Raut wajahnya yang berseri-seri sepanjang hari ini bertukar menjadi kusam sehodoh-hodohnya. Fikirannya bercelaru. Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku selepas ini jika Amirul tahu bahawa dia keluar dengan Faizal petang ini. Dia masih teringat akan sumpahnya dengan Amirul minggu lepas bahawa dia tidak memiliki sesiapa selain Amirul. Amirullah kekasih awal dan akhirnya.
Dia sangat bimbang jika Amirul akan meninggalkannya. Dia tahu, Amirul kini bukan Amirul dahulu yang hanya memiliki hatinya. Dia tahu, Amirul sudah pandai dan mula mengenali perempuan lain selain dirinya. Dia ada bukti bahawa Amirul sedang menjalin hubungan perasaan dengan perempuan lain. Dan sejak kebelakangan ini, Amirul sering merajuk dan kurang menghubungi dia. Justeru, dia mengambil keputusan untuk menjauhkan dan memutuskan hubungannya dengan Faizal, kerana baginya Faizallah yang menyebabkan Amirul berubah sikap. Atau memang begitukah sikap semua lelaki? Atau Amirul sudah melihat dunia ini semakin luas? Atau barangkali semakin ramai student perempuan yang menarik di tempat Amirul? Atau Amirul kian dewasa?
Tanpa Amirul dunianya akan menjadi gelap. Amirul adalah sinergi kehidupannya. Namun, tanpa Faizal dunianya menjadi suram. Dunia ini terasa sepi, terasa kehilangan! Dia yakin, Faizal juga memerlukan kehadirannya. Begitu juga sebaliknya; dia juga tidak sanggup kehilangan Amirul.

Wednesday, March 25, 2009

Hanya Dia yang Tahu

Malam itu, Filzah menyiapkan tugasan untuk subjek Bahasa Inggeris. Seperti biasa, dia meminta Faizal membantunya. Meskipun baru balik bekerja, dan sedang menggalas penat dan letih yang teramat sangat, Faizal tidak pernah menghampakan Filzah. Baginya, kepuasan dan kebahagiaan akan terasa jika dapat membantu Filzah.
“Saya dah e-mel esei itu. Tolong semak.” Begitulah mesej yang dihantar oleh Filzah.
“Ok. I will try my best sayang!”
Setelah siap mandi dan solat isyak, Faizal terus duduk di depan laptopnya. Talian internet malam itu terlalu perlahan. Asyik terpapar cannot find server pada skrin laptopnya.
“Sekejap lagi saya on DiGi” tiba-tiba terpapar sms daripada Filzah.
“Kenapa on DiGi pula?”
“Amirul nak call sekejap lagi.”
“Hmmm… kalau begitu saya nak tidurlah.”
“Tak mengapa, saya tahu awak penat.”
“Saya tak penat, tetapi hilang mood.”
“Kenapa?”
“Yalah…. Awak suruh saya semak esei, tapi awak bergayut pula….”
“Maaflah.”
“Maaf jua. Saya tak nak ganggu. Go on….”
Filzah dan Faizal mendiamkan diri. Sms tidak berbalas lagi. Faizal terus cuba membuka e-mel. Namun, talian internet masih belum dapat. Faizal semakin bosan. Tiba-tiba da mendapat satu idea…. Idea untuk menguji perasaan filzah terhadapnya. Justeru dia mereka-reka dan menghantar sms ini kepada Filzah.
“I just read and editing your proposal. Its not bad. Congratulation! Hmm… miss you hehehe…”
Serentak dengan itu, sms Filzah pun muncul pada hanfon Faizal. “Saya tak on DiGi dan tak online juga. Ini baru adil.”
Sejurus kemudian muncul sms daripada Filzah lagi. “Hmm…. Terima kasih hantar mesej itu kepada saya. Terima kasih, salam.”
Merajuk? Marah?
“Jujurlah, macam mana perasaan awak kalau saya hantar mesej itu kepada dia?”
Malam kian larut. Lima sms Faizal tidak dibalas oleh Filzah. Marahkah dia? Merajukkah dia? Cemburukah dia? Hanya Filzah yang tahu jawapannya. Hanya Filzah yang tahu hati dan perasaannya terhadap Faizal.
Namun, Faizal masih teringat akan ungkapan tulus dari Filzah sewaktu mereka menganyam cinta suatu ketika dahulu.
“Hati dan perasaan saya hanya abang yang tahu. Percayalah… tak perlulah saya ucapkan semua itu. Biarlah ia menjadi rahsia kita berdua buat selamanya. Kita memang ada cerita, memang ada rahsia, kita pernah mengukir sejarah dan semua itu hanya kau yang tahu.”
Akhirnya, Filzah terlena sendirian sementara raka sebiliknya yang keluar selepas solat isyak tadi belum kembali.

Tuesday, January 13, 2009

Hambar Singgah di Hati

Sejak malam tadi, Faizal tidak menghubungi Filzah sama ada menelefon atau sms.
Entah mengapa hatinya hambar dan dia kehilangan rasa untuk mengutuskan perasaan dan tanda kasihnya kepada Filzah.
“Morning. How are you?” tiba-tiba Filzah mengutus sms kepadanya.
“Thank you. Not so fine and you?”
“I am okey.”
“Tak berapa baik? Hehe.” Filzah bergurau.
Namun keinginan untuk meneruskan komunikasi melalui sms masih belum datang. Perasaannya masih beku. Sms Filzah tidak dibalasnya.
Dan sejam kemudian, lamunan Faizal terganggu oleh sms Filzah “buzy?”
“Taklah.” Ringkas jawapan Faizal.
“Ganggu?”
“Tak juga”
“Kenapa ni, macam tak ada mood je. Marah ae?”
“Biasa je”
“Ada masalah?”
“Sori, I lost good mood today.”

Thursday, January 8, 2009

Api Marah Membakar Dada

“Di mana?”
“Bilik.”
"Di mana?"
"Biliklah! Kan ayang dah cakap tadi, ayang nak tidur sekejap. Ayang letihlah!"
“Bilik mana?”
“Eh, kenapa ni? Lain je bunyinya.”
“Kenapa tak jawab panggilan abang?”
“Tak sedar.”
“Buat apa sampai tak sedar?”
“Tidurlah!” Jawab Filzah dengan nada yang amat manja.
“Jangan nak tipulah. Abang tahu ayang keluar dengan Faizal kan?”
Filzah terdiam. Fikirannya bagaikan seorang hakim yang mahu membuat keputusan. Wajarkah aku berterus terang? Bagaimanakah Amirul tahu? Macam mana kalau aku mengaku sahaja? Apakah yang akan terjadi selepas ini?
“Kenapa diam?” Api marah kian membakar dada Amirul. Hampir sejam dia menelefon Filzah, tetapi tiada respons. Benarkah dia tidur? Kalau pun tidur, masakan tak dengar langsung bunyi henfon? Tadi dia kata, nak tidur sekejap sahaja. Fikiran Amirul kian diracuni oleh pelbagai andaian negatif, prasangka, dan tuduhan-tuduhan terhadap kekasihnya, Filzah. Filzah gadis pertama yang bertakhta di persada cintanya. Filzah juga pernah berjanji akan setia selamanya, dan akan menunggu cintanya sampai bila-bila. Dia sudah nekad akan mengambil Filzah sebagai permaisuri istana impiannya. Bukan sekadar ungkapan janji setia dan cinta kasih yang diucapkan oleh Filzah, lebih daripada itu pernah Filzah relakan untuk membuktikan cinta agungnya. Memikir-mikirkan tentang itu semua, Amirul seakan-akan tidak percaya dan tidak tergamak menuduh Filzah keluar dengan Faizal hingga larut malam.
Namun, Amirul ada bukti bahawa Filzah masih sering keluar bermesra dan bersuka-suka dengan Faizal. Mustahilkah dia tidur di bilik bersama Faizal? Fikiran Amirul semakin kusut dan cemas. Baginya, itu tidak mustahil kerana dia ada pengalaman seperti itu.
“Kenapa diam? Ayang keluar dengan Faizal kan?” suara Amirul semakin tinggi. Api marah kian menjulang ke langit dadanya. Ini bukan kali pertama Filzah menipu dia.
“Ya, keluar makan sekejap tadi.” Perasaan takut dan cemas membungkus seluruh tubuh Filzah yang keletihan itu.
“Makan di mana?”
“Dekat sahaja. Tempat biasa.”
“Janganlah tipu. Abang tahu ayang bukan makan di situ. Ayang makan di tempat lain.”
“Sudah, sudahlah! Ayang minta maaf ya.”
“Tak perlu minta maaflah. Buatlah apa yang ayang suka dan boleh membahagiakan ayang.”
Mulutnya terkunci oleh api kemarahan yang terus membakar jiwa raganya.
Filzah pula hanya mampu mengalirkan air mata.
Tidak lama kemudian, Faizal menelefon Filzah. Dia dapat mengesan esakan Filzah. Faizal pura-pura tidak tahu. Namun, terucap juga kata-kata
“Bersabarlah, sayang! Kehidupan memang begini.”
“Tadi Amirul call.”
“Dia tahu ayang keluar dengan abang?”
“Tahu.”
“Macam mana boleh tahu?”
“Entahlah. Agaknya dia bela hantu!” Filzah teringat perbincangannya dengan Faizal tadi. Mereka berdua bercerita dan berbincang tentang hantu, jin, dan kadam selepas menjamu selera di Tasik Idaman.
“Biarlah. Esok lusa baiklah dia tu,” pujuk Faizal. Tatkala itu Faizal sedang berbaring keseorangan di bilik Hotel Five Stars. Biarpun dingin dan letih, dia belum mengantuk. Rasa bahagia bersama-sama Filzah sebentar tadi masih menjadi sinergi yang amat bermakna. Inilah satu-satunya sinergi yang paling hebat setelah dia kehilangan sinergi itu sepanjang tahun lepas.
“Esok pagi kita gerak awal sedikit ya. Abang nak balik awallah esok. Malam esok abang ada meeting,” sambung Faizal lagi.
“Oke. Esok kalau dah siap, saya call.”

(teks ini belum diedit)