Saturday, April 11, 2009

Bayu Malam Semakin Dingin

Udara di tepi sungai itu memang nyaman tatkala malam begini. Meskipun malam dah larut, suasana masih ria, apatah lagi malam minggu begini. Anak-anak muda dan remaja berpasangan menganyam kasih, membuktikan cinta.
Dalam kehangatan mesra itu, tiba-tiba Amirul dikejutkan oleh panggilan masuk Filzah. Tergamam. Serba salah juga singgah di hati. Dia memandang Erlina yang kelihatan curiga.
Filzah mengadu, dia dalam ketakutan. Ketakutan dek mimpi yang menakutkan. Dia bermimpi ada objek menindihnya sebentar tadi. Dia juga sudah mengadu kepada Faizal. Dia masih ketakutan dan gigil terasa juga. Faizal menyuruh dia membaca surah Yassin.
Amirul masih teringat apa yang dia lakukan bersama Filzah minggu lepas sewaktu dia mengunjungi Filzah. Dia sedar – mungkin kesan akibat daripada aprisiasi cinta mereka berdua, justeru ada gangguan terhadap Filzah. Risau juga Amirul. Filzah juga sedar, mungkin gangguan dalam tidurnya tadi akibat pernyataan cintanya terhadap Amirul minggu lepas.
Faizal terus menghubungi Filzah, tetapi Filzah mendiamkan diri sahaja. Faizal risau. Tidurkah Filzah?
Amirul terus meluncurkan motosikalnya meredah dinihari. Sesampainya di asrama, kawan-kawan masih berborak dan bermain sms dengan kekasih masing-masing. Begitulah keadaan dan pesta hujung minggu begini. Esok boleh sambung tidur hingga ke tengah hari. Tiada siapa yang marah. Emak ayah tiada siapa yang tahu. Begitulah adat dan budaya anak-anak muda remaja kini; menyambung tidur sampai ke zuhur.
Amirul segera menelefon Filzah. Keletihan yang mencengkam sirna dek deringan henfon daripada Amirul. Dengan suara yang manja dan penuh kasih, Filzah menjawab hukuran salam Amirul. Terasa Amirul datang menemaninya malam ini.
Amirul masih ingat, memang begitulah gangguan yang selalu dialami Filzah jika mereka melakukan sesuatu yang dilarang hukum.
Malam kian sunyi, kian dingin.
“Abang pergi mana tadi?”
“Keluar makan sekejap?”
“Malam-malam buta pergi makan?”
“Kawan-kawan ajak.”
“Ye ke tu….”
“Yalah, sayang….”
“Keluar makan dengan dia ke?”
“Taklah, sayang! Abang mana ada orang lain….”
“Hmm….”
“Tak percaya ke?”
“Yalah…. Percaya!” Filzah tidak pernah mencurigai Amirul. Baginya Amirullah lelaki yang terbaik dan paling setia. Kesetiaan itu terbukti dan kekal hingga kini biarpun beberapa kali jejaknya dikesan oleh Amirul.
“Cinta ayang hanya satu, hanya pada abang. Ayang akan tunggu cinta abang sampai bila-bila. Ayang rela tidak berkahwin dengan sesiapa juga demi cinta ayang pada abang.” Ungkapan ini masih kekal termeterai dalam jiwa Amirul. Inilah ungkapan keramat yang mengikat hati Amirul hingga kini.
Dan ungkapan ini dihantar kepada Faizal sebagai amaran bahawa dia akan hanya menjadi milik Amirul. Sewaktu menerima mesej ini setahu lalu, hati dan perasaan Faizal hancur berkecai sama sekali. Sakit, pedih dan deritanya tidak tertanggung lagi. Namun Faizal berjaya memujuk hati sendiri, perlahan-lahan mengutip serpihan hati yang berkecai, mengumpulkannya menjadi satu biarpun luka dan calarnya masih jelas hingga kini. Dia yakin, suatu hari nanti Filzah akan mencari dan memerlukannya juga. Dia percaya bahawa kehidupan ini bagaikan sebuah roda.
Amirul belum tidur lagi. Dia memang mempunyai kelebihan tidur lewat biarpun esok paginya ada kuliah. Ini kekuatan Amirul sebagai pelajar kejuruteraan di sebuah kolej. Tangan kirinya masih menggenggam henfon, berbalas sms dengan Erlina. Manakala jejari tangan kanannya rancak menghantar sms kepada Filzah. Mereka bertiga bermalam minggu – menyuburkan cinta kurniaan Illahi.

No comments: