Wednesday, April 1, 2009

Amirul Kian Dewasa?

Panas terik petang itu. Pun begitu, angin yang bertiup nyaman mengimbangi kepanasan petang. Tidak seperti kelmarin, hujan tidak jatuh di sekitar kampus ilmu ini. Dan pada petang inilah Filzah menunggu Faizal sehabis dia berkuliah. Filzah berdiri di tepi jalan berhampiran dengan bulatan ilmu. Dengan memakai baju kurung berwarna merah coklat Filzah kelihatan terlalu anggun. Ditambah pula dengan tudung coklat yang dibelinya bersama-sama Faizal pada suatu ketika dahulu.
“Kita nak ke mana?” ujar Faizal sebaik sahaja Filzah melabuhkan punggungnya di atas sofa, kereta baru milik Faizal.
“Kita makan dulu, nak?”
“Oke. Saya pun dah lapar sangat. Kenapa tak makan dulu tadi?”
“Sengaja nak tunggu sayang.”
“Yalah….”
Faizal meluncurkan keretanya menghala ke medan selera. Dan tidak lama kemudian, sepasang kekasih gelap itu sampai ke Restoran Pitstop.
Sambil menunggu nasi goreng dan sup yang dipesan, mereka menikmati ABC.
“Kita cepat sikit. Lepas ini saya antar Izah ke shopping complex,” Faizal mengingatkan Filzah akan janjinya pada malam tadi. Malam tadi, mereka berdua keluar makan di Restoran Juara.
“Tak mengapa, masih ada masa lagi. Bukankah sekarang baru pukul 5 petang?”
“Tak lewat ke balik nanti? Nanti ada yang marah pula!
“Tak apalah!”
Cuaca semakin redup dan angin semakin dingin. Faizal dan Filzah menuju ke pusat beli belah. Namun, sebaik sahaja memasuki premis itu, wajah Filzah berubah. Berubah sebaik sahaja menerima panggilan daripada seseorang. Faizal dapat merasakan perubahan perasaan yang sedang melanda Filzah.
“Kita balik cepat, dah lewat ni.”
“Kenapa?” Faizal terkejut. “Kata tadi, nak beli itu dan ini. Kenapa tiba-tiba macam ini?”
“Tak apa. Nanti saya cari lain kali.”
Faizal mendiamkan diri. Dia membiarkan dan menurutkan sahaja kehendak Filzah. Faizal tahu, ini semua angkara panggilan daripada Amirul.
Sepanjang perjalanan pulang, Faizal meluahkan rasa tidak puas hatinya. Manakala Filzah membatu sahaja. Raut wajahnya yang berseri-seri sepanjang hari ini bertukar menjadi kusam sehodoh-hodohnya. Fikirannya bercelaru. Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku selepas ini jika Amirul tahu bahawa dia keluar dengan Faizal petang ini. Dia masih teringat akan sumpahnya dengan Amirul minggu lepas bahawa dia tidak memiliki sesiapa selain Amirul. Amirullah kekasih awal dan akhirnya.
Dia sangat bimbang jika Amirul akan meninggalkannya. Dia tahu, Amirul kini bukan Amirul dahulu yang hanya memiliki hatinya. Dia tahu, Amirul sudah pandai dan mula mengenali perempuan lain selain dirinya. Dia ada bukti bahawa Amirul sedang menjalin hubungan perasaan dengan perempuan lain. Dan sejak kebelakangan ini, Amirul sering merajuk dan kurang menghubungi dia. Justeru, dia mengambil keputusan untuk menjauhkan dan memutuskan hubungannya dengan Faizal, kerana baginya Faizallah yang menyebabkan Amirul berubah sikap. Atau memang begitukah sikap semua lelaki? Atau Amirul sudah melihat dunia ini semakin luas? Atau barangkali semakin ramai student perempuan yang menarik di tempat Amirul? Atau Amirul kian dewasa?
Tanpa Amirul dunianya akan menjadi gelap. Amirul adalah sinergi kehidupannya. Namun, tanpa Faizal dunianya menjadi suram. Dunia ini terasa sepi, terasa kehilangan! Dia yakin, Faizal juga memerlukan kehadirannya. Begitu juga sebaliknya; dia juga tidak sanggup kehilangan Amirul.

2 comments:

Anonymous said...

Adakah sinergi tu hanya boleh diperolehi daripada orang lain?? Kalau begitu andai dia sudah pergi pasti sinergi itu turut pergi jua. Lantas hilangnya semangat untuk meneruskan kehidupan.


sofia,upm

PENGARANG said...

Tidak juga, tetapi cinta yang sejati akan menerbitkan sinergi, kata orang bijak pandai. Nak tau sinergi itu akan hilang atau tidak, nanti saya fikirkan. Agak-agak macam mana?