Saturday, November 21, 2009

Filzah: Dugaan itu Datang lagi

Aku tidak menyangka sama sekali ini yang akan berlaku. Sesungguhnya ini satu dugaan lagi. Aku hampir tidak mampu melarikan diri. Aku memang menolak pelawaan itu, tapi aku terpaksa menolaknya dengan berhemah, dengan berbudi bahasa. Tidak mahu mengguris atau mencalarkan hati sesiapa.
Beginilah hakikat wanita. Wanita yang sering dipersalahkan dalam hal-hal begini. Namun aku mesti bertegas dalam kelembutanku yang seringkali disalah tafsir ini.
“Saya nak ajak awak keluar makan esok. Boleh ya?”
Tergamam aku oleh pelawaan itu. Pun begitu, aku masih menganggapnya sebagai satu ajak-ajak ayam dan gurau sahaja.
“Hmm... pergi makan? Di mana?” Aku cuba menjawabnya dengan sehalus mungkin. Dalam kepalaku, akau akan mengajak Kakak menemani aku supaya aku tidak kekok apabila bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.
Aku tidak menolak dan tidak menyiakan, akhirnya.
Malam itu, aku meminta pandangan Faizal. Dia juga seakan-akan terkejut. Namun, dia tiada halangan. Dia juga mengenali Hamad, seorang tahfiz yang disegani.
Tidak lama kemudian, Hamad menelefon aku. Daripada ayat-ayatnya, aku mentafsirkan bahawa dia akan keluar seorang dan dia mengharapkan aku juga seorang diri. Aduhai..... aku kian serba salah. Aku kian keliru. Aku kian rimas, kian berperasangka....
“Mana boleh saya jumpa ustaz? Nanti apa kata orang? Lagipun saya tak biasa buat macam itu....”
“Baiklah. Saya faham. Kalau begitu, kita jumpa di Melaka atau di Kuala Lumpur sahaja. Nanti saya tunggu...”
Aku kian cemas. Aku mencipta dalih yang boleh dijadikan alas an untuk memutuskan perbualan. Dan akhirnya aku mematikan henfonku dengan sopan.
“Aduh... pening, pening!” keluhku dalam hati.
Seperti biasa, aku segera mengadu kepada Faizal. Faizal gelak-gelak. Aku tak faham apa maksudnya. Dia memberikan pandangannya tanpa prejudis, namun penuh dengan kasih sayang dan lojik sekali.
Malam keesokan harinya, Hamad menelefon aku lagi. Namun aku sudah mengeraskan hati, aku tidak akan keluar dengannya. Aku juga mendapat nasihat emak dan kakakku untuk lebih berhati-hati. Faizal juga melarang aku. Aku gembira, aku mendapat kekuatan menghadapi dugaan ini biarpun secara halus aku menghampakan Hamad al-Hafiz.
Dinihari, aku sujud bertaubat, menadah tangan memohon kekuatan daripada-Nya untuk menghadapi dugaan yang tidak jemu-jemu menyerangku. Dan akhirnya aku terlena di atas sejadah.
Ya Allah, kau ampunilah segala dosaku. Kau kurniakanlah kekuatan kepadaku, hamba-Mu yang kerdil dan lemah ini, ya Allah....

No comments: