Wednesday, December 17, 2008

Seindah dan Sejernih Air Terjun

Faizal termenung sejenak biarpun matanya terpaku pada skrin laptop sejak tadi. Imej dalam internet yang diterokanya tidak mendatangkan apa-apa makna pun. Dalam kepalanya masih berlegar ungkapan hidup ini bagaikan air terjun. Diulang-ulangnya beberapa kali ungkapan itu. Dan akhirnya dia akur bahawa kehidupan manusia ini tidak ubah bagaikan aliran air terjun yang kadangkala berderas, kadangkala lesu, kadang waktu tohor, dan kadang waktu melimpah!
Kini, fikirannya tiba-tiba menjadi bosan dan hambar rasa di hati. Namun dia masih ingat, semalam dan siang tadi dia
memang menikmati kehidupan yang riang, ceria dan bersemangat.
Betapa tidaknya, semalam pagi tiba-tiba Filzah menghubunginya lalu mengajak dia merambu. Justeru, dia mengambil cuti kecemasan, alasannya dia tidak sihat. Namun baginya, dia tidak menipu kerana dia menghantar mesej sms kepada majikannya I am not felling well yang diterjemahkannya menjadi saya rasa tak sihat, bukannya saya sakit. Itulah pemikiran Faizal!
Semalam dia berfoya-foya, menghabiskan masa hingga ke tengah hari bersama-sama Filzah. Kalau selama ini, dia yang sering mengajak Filzah keluar berseronok-seronok, tetapi hari ini lain ceritanya, Filzah yang mengajaknya pula. Namun, ini bukanlah kali pertama; biasalah, orang kata tidak manis kalau perempuan yang memulakan!
Mereka berdua berjalan tanpa tujuan dan destinasi tertentu. Tetapi, alangkah serasinya fikiran mereka; apabila mereka menghampiri simpang ke Air Terjun Sungai Bantang tiba-tiba Filzah mengajak Faizal ke sana.
“Nak pergi ke air terjun?” balas Faizal, terkejut.
“Kenapa terkejut? Tak suka?”
“Bukan tak suka, tapi terkejut kerana abang pun bercadang nak ke sana. Macam mana boleh sama apa yang kita fikirkan?”
“Kebetulan sahaja.”
Mereka sampai di air terjun tidak lama selepas itu. Sebelum sampai, Faizal membeli nasi lemah untuk dimakan di sana. Pada awalnya, Filzah memesan kuih, tetapi tiada kuih terjual di gerai itu.
Oleh sebab masih awal pagi dan musim tengkujuh pula, Cuma ada beberapa buah kereta di kawasan air terjun itu. Orang berjual pun Cuma ada dua tiga gerai sahaja. Faizal membeli sebotol air mineral saiz kecil untuk diminum berdua.
Mereka berjalan menuju mencari tempat duduk untuk menikmati nasi lemak tadi. Bagaikan sepasang kekasih, akhirnya mereka duduk di tempat yang disediakan berhampiran aliran air yang jernih.
Wajah Filzah nampak riang dan ceria pagi ini. Tiada raut-raut bimbang menghiasi wajahnya. Wajah ayu Filzah akan terserlah jika dia memakai tudung, jika tidak bertudung, agak kuranglah keayuannya!
Suasana sekira air terjun itu sungguh sunyi daripada suara manusia. Yang kedengaran hanyalah nyanyian riang-riang tanpa hentinya.
“Kenapa tiba-tiba nak keluar hari ini?”
“Tak ada apa. Saya bosan duduk di rumah, tak ada kerja nak buat.”
“Bukan sebab awak rindu?”
Filzah tidak bersuara.
“Lepas ini kita ke mana lagi?”
“Ke syurga, sayang!” jawab Faizal, selamba.
Filzah sudah biasa dengan jawapan sedemikian. Matanya masih merenung aliran air terjun. Sesekali terdengar desahan angin-angin yang bertiup merempuh dedaun kayu. Angin semakin kencang, semakin nyaman menusuk rasa. Filzah khayal seketika dengan belaian angin pagi itu. Dia cuba mengecapi nikmat alam itu sepuas-puasnya. Dadanya kian berombak, nadinya kian kencang, dan mindanya kian tenang. Desahan angin kian lirih dan berirama!
“Sayang nak balik pukul berapa?” Faizal bersuara suara serak dalam nafas yang singkat-singkat. Jarinya masih menguis-nguis batu licin tanpa lumut itu. Desahan air terus-menerus, kian rancak dek hujan renyai-renyai di atas gunung. Paras air kian dalam, dan arus kian deras!
“Suka hati abanglah, tapi jangan lewat sangat,” jawab Filzah dengan lirih dalam nafas manja. Matanya seindah mata belalang kunyit; kian kabur biarpun tidak berkelip.
Alangkah bahagianya Filzah dan Faizal tatkala itu.
Namun itu semua telah berlalu semalam. Kini Faizal bersendirian ditemani rasa bosan dan hambar. Dia cuba mengusir semua itu, tetapi bosan dan hambar kian menyusup ke jiwanya apabila dia teringat mesej daripada Filzah yang diterimanya tadi. .
Filzah memberitahunya, esok Amirul akan datang menemuinya. Seperti biasa, Faizal tidak akan menghubungi Filzah kerana dia tidak mahu peristiwa beberapa bulan yang lalu berulang.
Dan tatkala ini, tentunya Filzah sedang lena diulit mimpi dan harapan agar esok segera siang. Amirul akan bertolak awal pagi.
Sebelum melelapkan mata, Filzah menghantar mesej kepada Faizal mungkin esok sampai malam.
Untuk keselamatan semua pihak, Faizal tidak menghantar mesej pada malam ini. Ucapan selamat malam pun hanya dimanifestasikan dalam mesej kosong dan miss call sahaja. Mereka bimbang, Amirul akan buat spot check pada henfon Filzah esok. Henfon Filzah yang baru memang canggih dan boleh mengesan mesej-mesej lama walaupun telah dipadam. Amirul sengaja membelikan Filzah henfon sebegitu agar mudah dia memantau kekasih hatinya. Dia sedar juga, berkasih dengan gadis seperti Filzah memang sentiasa bimbang. Kadang-kadang terasa juga, kekasih hatiku buah hati orang! Seringkali juga tercabar kewibawaan dan kelelakiannya.
Filzah terpaksa akur dan rela paksa menyerahan henfon yang dihadiahkan oleh Faizal suatu masa dahulu. Kadang-kadang sediah juga dia. Pernah juga Faizal marah dan meminta agar Filzah memulangkan henfon itu jika dia tidak mahu menghargainya. Namun demi menjaga hati dan hubungannya dengan Amirul, Filzah sanggup berbuat apa sahaja. Amirullah segala-galanya!
Malam kian larut. Faizal ingin menutup tirai malam ini dengan tahajud dan sujud memohon keampunan kepada Illahi. Dia kembali sedar, dia telah pun menyerahkan segala-galanya kepada-Nya!

3 comments:

Anonymous said...

Saya harap novel ini dapat diteruskan. Saya tertunggu-tunggu kemunculan watak Amirul. Bagaimana konflik dia dengan faizal dan filzah? Apakah kesudahan novel ini nanti....

ASMIRA/KL

Anonymous said...

hmm kesian amirul.. teraniaya dengan cinta sendiri.. patut ke filzah terus begitu?????
tp dia begitu hebat dihati faizal..

qaisara

PENGARANG said...

Terima kasih, asmira dan qaisara.
tak lama lagi watak Amirul akan muncul. Saya sedang menyusun ayat dalam kepala ni. Tak tau lagi bila akan terpapar dalam laman ini kerana sekarang ini sibuk sangat dengan urusan kerja.
Buat qaisara, peroalan itu saya serahkan kepada pembaca. Tetapi selalunya, yang tak patut itulah yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Saya akan cuba menjadikan cerita ini begitu agar pembaca berfikir dan mengambil mesejnya.