Wednesday, December 10, 2008

Hati Sentiasa Bimbang


Tarikh kelahiranku ialah hari bersejarah dan bermakna dalam kehidupanku. Namun, tahun ini aku tidak dapat meraikannya pada tarikh itu. Peperiksaan akhir menghalangku. Namun beberapa hari sebelum hari itu, Faizal datang menemuiku. Dia membawa aku makan malam di sebuah restoran di pinggir tasik. Panorama lokasi itu pada waktu malam memang indah dan mendamaikan jiwa.
“Mana kawan awak?”
“Dia demam. Tapi taklah teruk sangat.”
Memang pada mulanya aku berhajat untuk mengajak kawan sebilikku pada malam itu. Tujuanku untuk mengelakkan prasangka buruk dan perang besar dengan Amirul. Walau apa jua alasan pun Amirul tidak akan mengizinkan aku keluar dengan Faizal.
Aku bahagia jika dapat keluar, apatah lagi makan malam bersamamu. Tapi aku bimbang kalau Amirul menelefonku ketika ini, begitulah bisik hatiku tatkala aku duduk di sebelah, sedang Faizal memandu keretanya dengan tenang. Aku pasti dia juga bahagia bersama-samaku.
“Filzah, tahun ini aku tidak dapat terbang ke angkasa sebagaimana tahun lepas. Aku tak dapat memetik bintang-bintang yang berkelipan untuk kujadikan rantai mengalungi lehermu sebagaimana yang aku janjikan dahulu. Masihkah kausimpan batu angkasa yang kuberikan tahun lepas? Masihkah kau ingat kenangan tahun lepas?”
Filzah mengangguk cuma. Sesekali jejari halusnya menekan huruf-huruf pada telefon bimbitnya menghantar mesej kepada Amirul.
“Pagi tadi saya turun ke laut. Saya ke dasar laut cuba mengutip mutiara, tetapi tak dapat juga. Jadi, tiada apa-apa yang istimewa tahun ini,” sambung Faizal lagi.
Mata Filzah terpaku pada sebuah bungkusan yang dibuka oleh Faizal. Perlahan-lahan Faizal membuka bungkusan itu dan kemudian meminta Filzah menghukurkan tangannya.
“Sayang suka dengan ini?”
Tanpa kata, Filzah mengangguk sahaja.
“Kenapa susah-susah macam ini? Kan mahal benda tu….”
“Abang tak susah, sayang. Abang bahagia. Sayang bahagia?”
“Ya, terima kasihlah.”
Tiba-tiba bayu tasik yang dingin dan nyaman malam itu menyapa wajah dan tubuh mereka. Mereka saling berpandangan. Saling mengekspresikan rasa sayang di jiwa masing-masing. Hanya bayu malam dan bintang di awan yang menjadi saksi mereka.
“Tahun ini berbeza daripada tahun lepas. Berbeza keadaan, berbeza lokasi dan berbeza perasaan. Namun, kita harus bersyukur kerana dalam keadaan yang begini kita masih diberi peluang untuk bertemu dan menceriakan rasa yang ada dalam hati kita. Tahun depan kita belum tahu lagi. Banyak kemungkinan yang akan berlaku, dan selalunya kenyataan atau takdir tidak selari dengan apa yang kita rancang dan jangkakan.”
Filzah menjadi pendengar yang setia sahaja. Malam ini dia kurang bercakap. Fikirannya sering terbang melayang diburu kebimbangan. Dan tatkala itulah henfonnya merengek-rengek meminta agar disambut.
Perlahan sahaja suara Filzah menyambut ucapan salam dalam henfon itu. Faizal pasti, itulah panggilan daripada Amirul. Tidak sampai dua minit, Filzah menutup henfonnya.
“Maaf. Kita tak boleh balik lewat malam ni. Kasihan room-mate saya menunggu lama. Dia belum makan lagi.”
Faizal tidak membantah. Dia yakin itu bukan alasan yang sebenar. Dia sudah biasa dengan keadaan ini. Namun dia akan cuba membawa Filzah ke destinasi lain untuk beberapa ketika untuk mencipta detik indah sempena hari kelahiran Filzah yang akan jatuh empat hari lagi. Dia yakin detik itu tidka akan dapat dilupakan sepanjang usia mereka sebagaimana detik kenangan pada tahun lepas.
“Jom kita balik,” ajak Faizal tiba-tiba.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah dr..jalan ceritanya menarik sekali.Diharap dr dapat menyiapkan cerita ini secepat mungkin.Tak sabar nak menanti episod seterusnya...

Sofia,upm...

PENGARANG said...

Terima kasih, Sofia.
Khabarnya anda mendapat keputusan cemerlang semester lepas, tahniah!
Doakan agar saya dapat menyiapkan cerita ini dengan cepatnya. Kalau ada idea tu e-melkan kepada saya.
Episod selepas ini berjudul "Sepi itu Nikmat"....