Thursday, December 11, 2008

Saat Yang Menggembirakan

Antara saat yang menggembirakan dalam kehidupanku apabila aku menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke IPTA di ibu kota. Bukan aku sahaja, malah seisi keluargaku amat gembira dengan kejayaanku ini. Namun begitu, aku tidaklah terlalu gembira. Banyak perkara yang bersarang dalam kepalaku. Terlalu banyak hal yang akan aku hadapi selepas ini. Aku yakin itu, tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.
Filzah masih merenung surat tawaran yang baru diterimanya. Dia tidak menyangka sama sekali akan dapat meneruskan pelajaran ke menara gading. Wajah-wajah signifikan dalam hidupnya; ayah, ibu, abang, kakak, adik, kekasih dan kawan-kawan silih berganti hadir di ruang matanya.
Kepada siapakah yang akan aku luahkah segalanya itu? Fahamkah mereka tentang masalahku? Mereka hanya tumpang gembira, tetapi adakah mereka juga mahu bersama-samaku, dan memahami kesedihan dan masalah yang sedang aku hadapi ini? Wajarkah aku meluahkan semua ini kepada mereka?
Tatkala memikirkan keadaan dan nasib diri, air mata juga yang bertandang dan bersimpati. Filzah lebih suka memendam rasa, menyimpan segala pahit dan duka rasa bersendirian. Dia lebih mengutamakan orang lain daripada dirinya. Nikmat dapat dirasai apabila dia dapat membantu orang lain. Dia lebih rela menderita daripada melihat orang lain menderita. Baginya, kesusahan dan kesedihan adalah suatu nikmat Tuhan yang membawa seribu hikmah.
Bunyi henfon menamatkan lamunan Filzah. Dia tahu, itulah nada dering
panggilan daripada Faizal. Dan tanpa berfikir panjang, dia segera mencapai henfon itu.
“Tahniah. Saya gembira sangat,” tanpa ucapan salam, Faizal memulakan kata-kata.
“Terima kasih,” jawab Filzah dengan nada yang tidak gembira sangat.
“Eh kenapa ni… macam tak happy je?”
“Biasa je….”
“Awak ni…. Orang lain happy dapat masuk universiti, tapi awak sebaliknya pula.”
“Itu orang lain, saya tak macam orang lain.”
“Sudahlah tu, jom kita keluar sekejap. Saya belanja awak minum hari ini sebagai hadiah atas kejayaan awak.”
Filzah diam sahaja. Dia tahu, itu hanyalah ajakan dan usik gurau sahaja.
“Boleh tak kalau saya tangguhkan tawaran ini?”
“Apa, tangguhkan?” terkejut besar Faizal mendengar pertanyaan itu. “Jangan buat benda yang bukan-bukan.”
“Tapi saya banyak masalah….”
“Sudah. Jangan cerita fasal masalah lagi. Saya tahu apa yang sedang awak fikirkan. Saya tahu masalah awak. Serahkan semua masalah itu kepada saya.”
Terharu sungguh Filzah ketika itu. Selama ini, hanya Faizallah tempatnya mengadu hal dan meluahkan rasa yang terpendam di hati. Malah ada ketikanya dia menumpang kasih pada Faizal, meskipun Faizal bukanlah lelaki pertama yang membahagiakan jiwanya.
“Minggu ini saya akan bercuti. Saya akan bantu awak menguruskan al-hal yang berkaitan dengan tawaran itu. Hujung minggu ini kita pergi shopping, beli keperluan di sana nanti,” serius nada suara Faizal.
Filzah tidak mampu menolak huluran tangan Faizal yang ingin membantunya. Ini bukan pertama kali dia memerlukan bantuan Faizal. Faizallah yang membantunya mengisi borang permohonan, Faizallah yang menghantarnya menghadiri temuduga, dan Faizallah juga menguruskan perihal persekolahannya yang tersangkut beberapa ketika.
“Pergi shopping? Nak beli apa?” balas Filzah agak terkejut.
“Awak ingat di kolej nanti semuanya ada? Awak kena beli bantal, sarung bantal, cadar, selimut, cerek elektrik, baldi, sabun basuh…. Awak dah ada semua itu?”
“Sudah! Selimut dah ada! Nak buat apa beli cerek?”
“Tak nak beli cerek tak apalah…. Minum sajalah air paip nanti…. Minum je air sejuk tiap-tiap hari.” Dalam serius tersulam juga gurauan Faizal.
“Nantilah saya fikirkan dahulu,” suara Filzah kian ceria. Fikirannya kian lapang. Terlerailah sudah tali-tali fikir yang tersimpul di dalam kepalanya.
“Kalau ada apa-apa masalah call saya. Terima kasih, sayang!” usik Faizal.
Namun, semua itu sudah berlalu, menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan. Kini Filzah berada di menara gading, dan telah pun seminggu berkuliah. Sebelum melelapkan mata, dia menuliskan catatan dalam diarinya.
Aku bagaikan bermimpi. Aku seronok dan bahagia sangat belajar di sini.
Tak sangka, aku yang dulunya seorang gadis kilang, kini aku menjadi mahasiswa. Aku akan
belajar bersungguh-sungguh dan cemerlang. Aku tidak mahu menghampakan harapan
mereka. Tanpa mereka, siapalah aku….

3 comments:

Anonymous said...

Mm..pelikkan kenapa filzah tidak pilih faizal sbg kekasih sedangkan mereka sangat serasi dan mempunyai citarasa yang sama.

Anonymous said...

Agaknya Amirul orang yang pertama berjaya memikat hatinya. Mungkin juga mereka hanya serasi sebagai sahabat tetapi tidak serasi sebagai kekasih. Macamana pun kita tunggu cerita seterusnya. wahai pengarang, cepatlah sikit sambung cerita ini... (AZZ-09)

PENGARANG said...

Terima kasih. Atas kekangan masa saya tidak dapat menyiapkan novel ini secepat mungkin. Bersabarlah ya!
-Kajang/Bangi