Tuesday, December 9, 2008

Biarlah Tuhan Yang Menentukan

Hari itu Faizal membuat keputusan untuk meninggalkan dan melupakan Filzah. Diam-diam dia terbang ke suatu destinasi yang dirahsiakan. Dia hanya meninggalkan pesan melalui e-mel kepada Filzah.
Aku tidak pernah melupakanmu biar pun hanya seketika. Namun, mulai saat ini aku bertekad untuk melupakan dirimu, aku cuba untuk menghapuskan segala kenangan manis dan pahit bersama-samamu. Demi hati yang terluka dan sering dilukai, aku ingin pergi jauh darimu. Harapanku agar kau lebih bahagia dan memperoleh ketenangan yang abadi. Hadapi kehidupan ini dengan tabah dan taqwa. Jaga diri selalu. Salam sayang dan selamat tinggal sayang.
Sebelum meninggalkan daerah itu, Faizal sempat menelefon Filzah. Namun tiada kata-kata yang terucap. Sebak dan kepiluan cukup mengharukan jiwanya. Hal demikian menjadikan Filzah cuba memujuk dan mendamaikan jiwa Faizal. Namun Faizal yang telah mengeraskan hatinya memutuskan talian.
Kesedihan yang disulami dengan seribu persoalan menyerbu benak Filzah. Filzah cuba memujuk dirinya sendiri. Dia menghubungi Faizal tetapi hampir sepuluh panggilannya tidak terjawab. Lantas Filzah menghubungi pembantu peribadi Faizal. Namun hampa juga. Tiada jawapan pasti.
Setelah membuka e-mel keesokan harinya, barulah Filzah tahu apa yang tersemat di hati Faizal. Filzah membalas e-mel Faizal, ringkas.
Jangan ucapkan selamat tinggal sayang kepadaku. Biarlah Tuhan sahaja yang menentukan segala-galanya.
Faizal terkejut membaca e-mel itu. Dia tidak menyangka sama sekali itulah jawapan daripada Filzah. Dia teringat beberapa mesej sedih yang dihantar oleh Filzah sebelum ini. Sejak dulu lagi dia memang yakin bahawa Filzah menyayangi dirinya biarpun tahap sayangnya di tangga kedua selepas Amirul.
“Tidak perlu aku ucapkan rasa sayang yang bertahta di hatiku selama ini. Cukuplah kalau hanya kau yang tahu. Biarlah ia menjadi rahsia kita berdua,” ucap Filzah dalam kesyahduan dan linangan air mata tatkala mereka berdua mengukir kenangan yang tersangat indah dan manis. Tatkala itu juga Filzah langsung terlupa akan kekasihnya, Amirul. Begitulah Filzah, dia akan lupa pada Amirul apabila menikmati keindahan rasa dan mencipta kebahagiaan bersama Faizal, dia juga akan melupai Faizal, malah Faizal seolah-olah tidak pernah wujud dalam hatinya ketika dia bersama-sama Amirul.
Faizal tidak berjaya menjadi hipokrit, dia kembali menjadi dirinya sendiri. Dia tidak mahu menipu diri sendiri. Baginya, orang yang paling bodoh ialah orang yang menipu diri sendiri. Dia juga pasrah dan bertekad untuk terus menyayangi dan merindui Filzah. Dia menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Mengetahui, iaitu Allah Yang Esa, tuhan yang menentukan kehidupan manusia. Dia menganggap dirinya kini bagaikan lelaki yang sedang hanyut di tengah lautan, yang ada hanyalah ombak dan angin yang kian membadai, ada kalanya tenang ada kalanya ganas, dan hanya Tuhan yang menjadi tempatnya memohon pertolongan. Lantas Faizal menghantar mesej kosong kepada Filzah.
Bagaikan sebutir embun yang menitis ke atas dedaun yang layu, begitulah nilai mesej kosong itu kepada Filzah. Terharu sungguh hatinya tatkala skrin henfonnya memaparkan mesej diterima daripada Faizal.

4 comments:

Anonymous said...

hebat betul filzah ni.. mana satu agaknya yang dia sayang.. tp ok gak, jrg ada citer permpuan curang cmni..

adeq_86

Anonymous said...

Sebenarnya filzah seorang yang baik, tetapi dia terpaksa melakukan ini semua kerana dia manusia biasa. Curang? Hehe... ada orang mengatakan dia bukan curang kerana dia belum bernikah dengan sesiapa pun. hubungan cinta kini sebenarnya hubungan yang salah dari segi Islam. Filzah berhak menyayangi sesiapa jua kerana dia belum dimiliki oleh sesiapa pun dalam konteks perkahwinan. jadi, bagi sya dia tidak curang! dia pun belum tahu dengan siapa jodohnya nanti... betul tak? Lelaki ni selalunya nak kontrol pmpuan je....

sarah-83

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

Saya setuju dengan sarah.... Sbb konon nk setialah selalunya pempuan sangguh gadai maruah dan serah segalanya pd bf. Pas dh serah dia kena tggl.... Laki mana yg nak amek sisa orang??? Hrp2 cte dlm novel ini ada pengajarannya.