Friday, November 19, 2010

FITRAH HATI YANG NORMAL

Menanti esok, terasa terlalu lama.
Begitulah apabila musim itu
bertandang lagi
musim bunga bagi orang
musim luruh bagi aku;
bertimbang rasanya diri
kerana seminggu dulu
musim bunga itu milikku.
Tetapi naluri dan kenormalan insan
fitrah kejadiannya memang begitu
ingin menang; resah dan gelisah.

Thursday, July 8, 2010

Esok....

Ingat esok, teringat macam-macam
esok kita rancang
tetapi esok bukan milik kita
di dunia ini kita hanya peminjam
kita peramal cuma
merancang jua yang kita mampu
Ingat esok, aku bahagia
walaupun esok tidak pasti
Ingat esok, bimbang dan sedih jua
kerana teringat semalam
yang telah kutinggalkan.

Wednesday, June 30, 2010

Kian Curiga

AMIRUL termenung, merenung jauh; sesekali ke utara, sesekali ke timur, sesekali ke tengah-tengah kota raya. Dalam menung yang panjang itu, wajah Filzah dibawanya bersama. Filzah ada di mana-mana; di sana, di sini, di desa, di kota, di ladang, di gunung, di lurah….
Hasrat untuk memiliki Filzah yang berdetik sejak di bangku sekolah lagi kian membara kini apatah lagi Filzah merupakan seorang gadis yang berjaya ke menara gading. Filzah juga semakin anggun, semakin matang, semakin menjadi idaman ramai lelaki. Kadang-kadang popularity Filzah menyebabkan dia menjadi bimbang. Apatah lagi Filzah diminati oleh ramai lelaki yang hebat-hebat, termasuklah pensyarahnya.
Wajarkah aku menghalangnya daripada berkenalan dan berkawan dengan orang lain? Tiba-tiba itu yang terdetik di hatinya. Rasa cemburu kian membuak-buak, bisikan syaitan kian bertiup di telinganya.
“Berkawan dengan orang lain salah ke?” ungkap Filzah pada suatu hari tatkala mereka menikmati ayam goreng di Bandar itu.
“Tak salah, tetapi abang bimbang.”
“Bukankah saya dah janji, dan kita pun sudah melalui bermacam-macam…. Dan kita pun….”
“Awak tahu tak, abang sering kecewa, kecil hati….”
“Teruskanlah, saya sedia mendengar.”

Tuesday, June 29, 2010

Puisi Dinihari Untukmu

Diari Faezal telah lama tercampak entah ke mana. Segala-galanya hanya tercatat dalam minda. Telah lama dia melupakan Filzah; sejak Perang Dunia III antara Filzah dengan Amirul tercetus. Kini perang itu telah damai, yang tinggal hanyalah debu-debu bak kemusnahan Hiroshima. Faezal melarikan diri ke langit, berselimutkan awan dan sambil memeluk bintang-bintang tatkala dinihari. Dengan penanya yang agak usang, dia melakarkan kenangan dan cerita diri dalam "puisi dinihari":

Terbang ke sangkarmu
dan masuk
kerana kau membukakan sisip pintunya
sambil menghulurkan tangan
menggenggam senyum yang malu-malu
kausorokkannya di dalam mangkuk padi huma
kegemaran sang tempua
yang seringnya bersarang tinggi
dan kini kita terperangkap
di dalam sangkar anugerah Illahi itu.

Harap-harap, apabila siang esok, Filzah terbangun lantas mencapai nota puisi ini yang ditiipkannya melalui burung yang terbang pagi.

Saturday, April 24, 2010

Usah Kau Menipu Alam....

Apakah salah dan apakah dosaku? Sepanjang hari ini kausakiti hatiku? E-melku pun kau delete.... seolah-olah aku ini tidak pernah wujud dalam hatimu. Apakah kau ingin memadamkan sejarah, ingin kau menipu alam, ingin kau menipu dirimu sendiri?
Semoga kau akan mendapat hidayah. Begitulah, munajat Faezal tatkala sujud di depan Tuhannya, tuhan yang menjadi saksi sekian alam.

.

Wednesday, April 14, 2010

Setelah Kemarau Panjang

Setelah kemarau panjang yang menghukum manusia sekian lama, tanah gersang, manusia kian mengeluh – bahang dan panas, akhirnya mala mini hujan turun selebat-lebatnya. Begitulah kekuasaan dan keadilan Allah s.w.t. kepada seluruh kehidupan manusia di alam yang sementara ini.
Dan setelah hamper tiga jam, air bagaikan dicurahkan dari atas langit, kahirnya malam yang kian dingin menjadi kian sunyi; tanpa jeritan sang kodok, tanpa bunyi apa-apa pun. Sunyi sesunyinya!
Dalam sunyi yang hening itu, Faezal sujud menemui Tuhannya, memohon agar cintanya pada Filzah tidak terus bertasbih!
Suatu munajat yang mendalam, dengan penuh insaf dan rasa kekerdilan jiwa, Faezah memohon kekerasan jiwa,memohon agar dikeringkan hatinya agar mampu untuk mengucapkan “Selamat tinggal, kuundurkan diri ini demi dirimu!”.
“Andai aku tidak sempat menghulur salam perpisahan, titipkanlah secebis doa kesejahteraan untukku, insan yang pernah menyayangimu. Relakanlah aku pergi menemui-Nya nanti dengan aman dan sentosa di sisi-Nya.”
Sesungguhnya kita hanyalah hamba Allah yang sangat lemah yang seahrusnya reda dengan ketentuan-Nya.

Wednesday, March 17, 2010

Tinggal Kenangan?

Sudah sebulan Filzah dan Amirul berkonflik. Perang besar, barangkali bagaikan perang nuklear. Kesan peperangan ini, Faizal jua yang menerima akibatnya. Faezal jua yang menjadi puncanya! Tapi bukanlah salah Faezal.....
Dalam menyepikan diri, muhasabah diri dan merenung kembali detik-detik manisnya bersama Amirul, dia........

Tersentak daripada lamunan yang amat jauh, Filzah dikejutkan oleh SMS daripada Faezal, "Selamat tinggal, sayang. Kulakukan ini semua bukan untukku, tetapi untuk dirimu, demi kebahagiaanmu. Terima kasih dan maaf atas segalanya."

Adakah itu semua akan tinggal kenangan?