Thursday, September 24, 2009

Filzah: Hari Bersejarah

Hari raya tahun ini merupakan hari raya yang paling bermakna bagi diriku. Dan akan kucatat dalam diariku, hari ini ialah hari bersejarah dan hari yang paling membahagiakan aku. Aku tidak pernah berasa sebahagia ini. Sejak malam lagi aku tidak dapat melelapkan mata, memikirkan bagaimana dan apa yang akan berlaku hari ini. Bagaimana penampilan dia hari ini? Macam mana pula penerimaaan keluargaku terhadap dia. Harap-harap dia menyenangkan dan pandai mengambil hati emak dan ayahku. Dalam bimbang cemas itu, aku yakin dia pandai membawa diri. Lagipun aku sudah memberikan beberapa latar belakang tentang emak dan ayahku agar dia tidak kekok dan tersilap cara. Tip-tip untuk menambat hati bakal mentua juga aku telah bisikkan ke telinganya.
Pagi-pagi lagi emak mengejutkan aku agar mengemas dan menghias rumah sepatutnya. Emak menyuruh aku memasak nasi untuk Amirul. Baiklah, aku akan memasak lauk istimewa hari ini. Biarlah dia merasa masakanku hari ini. Alahai… bahagianya!
Ayahku memang teringin sangat berkenalan dengan dia. Emak selalu menyampaikan hasrat ayah itu kepadaku. Namun aku belum bersedia untuk mengizinkan dia bertandang ke rumah, begitu juga dia. Namun hari raya tahun ini aku yakin dia sudah boleh meyakinkan emak dan ayahku bahawa dia memang serius, memang bersungguh-sugguh, dan memang bertanggungjawab untuk menjadi teman hidupku yang sah suatu hari nanti.
Dengan kedatangannya hari ini, emak dan ayah tentu lebih senang hati dan tidak perlu bimbang lagi, tidak bimbang aku akan jatuh hati kepada Faizal.
“Emak bukan tak percaya pada awak, tetapi emak bimbang awak jatuh hati pada dia. Sebab itu, ayah sering menangis memikirkan awak dengan dia,” jelas emak pada suatu hari apabila emak tahu bahawa aku keluar dengan Faizal, dan Faizal yang menghantar aku sampai ke Airport hari itu.
“Kenapa selama ini emak dan ayah tak menghalang kami? Emak dan ayah seolah-olah membenarkan dan menggalakkan saya bersama-sama dia, emak dan ayah memberi ruang untuk kami lebih rapat. Dan akhirnya saya jatuh hati kepadanya.” Filzah tidak tergamak untuk meluahkan rasa hatinya. Biarlah itu semua menjadi rahsia peribadinya.
Aku mengadukan hal ini kepada Faizal. Faizal tersenyum. Mungkin terdetik di hatinya…. Hanya kau yang tahu.
Bunyi henfon mengejutkan aku yang terlena sejak maghrib tadi. Sepanjang hari ini aku sakit kepala. Namun aku tidak mengadukan sakitku itu kepada Faizal sebagaimana biasa. Fikiranku lebih berfokus kepada Amirul sejak sehari dua ini. Faizal tersingkir sedikit.
Faizal tidak berkata apa-apa. Aku tahu, dia sedih dengan kehadiran Amirul hari ini. Semalam, apabila aku memberitahunya bahawa aku pergi menziarahi kubur datuk dan nenekku di kampung, dia menghantar sms “kubur ialah penghujung kehidupan kita. Nokhtah perjalanan kita. Dan kita pun telah berjalan semakin jauh, semakin menghampiri kubur. Akhirnya, kita akan berhenti juga dan mungkin kita akan menemui sebuah kubur tanpa nisan tidak lama lagi.”
“Apa maksud tanpa nisan?” Aku membalas sms-nya.
“Kubur yang tidak nampak, tiada siapa yang tahu kecuali simati sahaja.”
“Kenapa cakap macam itu?”
“Entahlah, tetapi itu yang aku rasa kini.”
Sejak kunjungan Amirul menghadap emak dan ayah, Amirul tidak pernah menghantar sms yang indah-indah lagi. Barangkali dia terjauh hati. Barang kali dia mula sedar diri. Barang kali dia akan mengundurkan diri. Barangkali dia tidak mahu mengganggu aku lagi.
Aku duduk bersendirian kini. Gembira dan bahagia sangat apabila teringat akan kejujuran Amirul bertandang ke rumah. Senang hati snagat kerana emak dan ayah nampaknya menyenangi Amirul. Ayah selalu memuji-muji Amirul. Bahagianya aku....
Namun, aku kian serba salah. Aku masih belum dapat melupakan Faizal, aku masih memerlukan kasih sayangnya jua. Faizal ada keistimewaan tersendiri, begitu juga Amirul ada kelebihan dan direstui emak dan ayah.
Aku cuba memujuk Faizal. Namun Faizal kian menyepi. Akan kehilangankah aku akan dia?
Perlahan-lahan air mataku mengalir tanpa kusedari.

Tuesday, August 25, 2009

Sepi lagi

Sedih. Hanya dia yang merasakan kesedihan yang tak terucap itu. Faezah baru baru sahaja meminta Faizal mengembalikan puisi sajak yang diciptakirimkan minggu lepas.

Monday, July 20, 2009

Dua Jiwa Satu Hati

Sukarnya kunyatakanperasaanku padamu
yang semakin menebal
bersemi di kalbuku
sungguhpun demikian
terpaksa ku terima
hakikat yang sebenar
diri ini sebenarnya dicintai
beratnya hati ini
untuk melepaskanmu
sudah pasti kau juga
dan andai ku pilihmu
jadi kekasihku
bagaimana dengan dia
yang terdahulu menyintaiku
sungguhku serba salah tak menentu
mengapa semua ini yg terjadi
pastiku menyendiri dari meluka keduanya
tak mungkin kan terjadi
dua jiwa satu hati

Begitulah puisi yang dihantar kepada Faizal tatkala Filzah berjauhan dengannya. Faizal perasan, cinta Filzah terhadapnya kian menebal.
Sering juga Amirul tergelincir dari landasan hatinya. Sering juga Amirul terlepas dari rantai perasaannya, apatah lagi tatkala dia bersama-sama Faizal sehingga ke Langkawi ketika musim panas tempoh hari. Menaiki kereta bersama Faizal, sepanjang perjalanan ke pulau syurga itu memang cukup membahagiakan. Pun begitu, ada secebis buah tangan untuk Amirul sebagai tanda ingatan yang masih bersemadi di sudut hatinya.
“Tak belikan dia oleh-oleh ke?”
“Tak payahlah….”
“Jangan begitu, tak baik tau…. Belikanlah apa-apa sebagai tanda ingatan.”
Filzah diam sahaja.
“Belilah apa-apa pun…. Hmmmmm…. Tak mengapa, biar abang sponsor ya?”
“Tak usahlah….”
“Ha…. Belikan dia minyak wangi….”
“Mahal sangat….” Filzah tidak mahu duit Faizal habis kerananya. Meskipun Faizal tidak berkira tentang duit dan apa juga yang diberikan kepada Filzah, namun Filzah sentiasa berhati-hati dan berhemah apabila menggunakan duit Faizal. Filzah bukanlah perempuan pisau cukur. Dia menerima apa-apa juga seadanya yang diberikan oleh Faizal.
“Hmmm… beli coklat je la….” Cadang Filzah.
“Terserah. Yang penting ada oleh-oleh.”
Meskipun sekadar sekeping coklat, buah tangan itu besar ertinya bagi Amirul. Apatah lagi dapat menikmati coklat import di pinggir air terjun yang nyaman itu. Dengan kereta barunya, Amirul bersiar-siar sepanjang hari dari kota Semangat ke lembah perkampungan orang Asal yang menyuguhkan keindahan alam.

Thursday, June 11, 2009

Hari Ini dalam Sejarah

Hari ini dalam sejarah, bisik hati Faizal apabila teringat peristiwa malam tadi. Malam tadi dia menerima miss call sebanyak 37 kali daripada Amirul. Dia sengaja tidak menjawab panggilan Amirul kerana Filzah bersama-samanya mengharungi dunia fana yang menyeronokkan ini.
Amirul mendapat maklumat buah hatinya bersama Faizal malam tadi. Ya, memang benar. Dia menghubung Filzah, tetapi Filzah tutup hanfonnya. Tutup hanfon boleh memungkinkan bateri habis. Atau ada masalah teknikal. Itu hujah yang mudah dan sukar untuk dibuktikan dan juga disangkal.
Filzah bukanlah tidak baik, tetapi dia telah terperangkap dalam dua cinta. Kedua-duanya ada makna, ada cerita dan ada rasa. Kedua-duanya perlu, tetapi untuk berkahwin dengan Faizal tidak mungkin baginya.
Dia sudah berjanji sehidup semati dengan Amirul. Faizal faham semua itu. Biarpun Amirul lelaki pertama bertakhta di hati Filzah, namun Faizal masih boleh berbangga kerana dia adalah lelaki pertama yang …. menjadi rahsia dalam hidup Filzah. Faizal lelaki pertama yang sampai ke puncak Gunung Tahan; yang pertama terjun ke Tasik Idaman; yang pertama menghisap daun tembakau Virginia; dan yang pertama menghirup sup panas di dalam periuk tembaga. Begitulah catatan dalam diari seorang wanita idaman sejuta lelaki.

Friday, May 8, 2009

Berilah Aku Peluang....

Malam ini Filzah berada di sebuah kota, di timur tanah air. Dia berkunjung ke rumah saudaranya di kota itu sebaik sahaja peperiksaan akhir habis dua hari yang lalu. Sambil menziarahi saudara, dapat juga dia bertemu dengan Amirul yang kebetulan menyambung pengajiannya di sebuah kolej dalam jurusan kejuruteraan lanjutan. Mengikut jadualnya, dia berada di kota itu selama tiga hari.
Esok petang dia akan pulang ke kampung. Begitulah maklumat yang disampaikannya kepada Faizal. Dia juga berjanji akan bertemu dengan Faizal setibanya di airport. Faizal juga sudah berjanji akan menunggu ketibaan Filzah biarpun lewat malam. Faizal sudah mengosongkan jadual hariannya, malah telah pun membatalkan satu janji temu yang tidak kurang pentingnya.
“Saya terpaksa balik lewat esok. Tak perlulah tunggu saya. Maaf.” Faizal baru sahaja menerima mesej SMS itu.
Dengan hati yang terbuka dan terpaksa tenang, Faizal menelan mesej itu serasa-rasanya. Sudah lama dia belajar dan berlatih untuk menjadi lelaki yang gagah dan berstamina emosi dan inteleknya. Dia telah mengenali Filzah begitu lama; kenal jiwa dan raganya!
Faizal masih ingat tentang diri Filzah yang dilahirkan dalam bulan November. Menurut buku itu, iaitu menurut kajian metafizik, Filzah mempunyai ciri-ciri seorang wanita yang banyak idea dalam sesuatu perkara; perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-rubah; cara berfikir lain dari orang lain berfikiran kehadapan, unik, banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra; sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia; amanah, dan pandai berahsia; tidak hargai pujian; bercita-cita tinggi; terlalu degil dan keras hati; apabila hendak akan diusahakan sehingga berjaya; kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi kepada sesuatu kehendak; pandai mendorong diri sendiri; berani, pemurah, dan banyak kesabaran mudah ambil berat terhadap orang lain; tak suka marah kecuali tergugat; tidak pasti dengan imbangan kasih sayang; dan tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi. Berdasarkan pengamatan Faizal, ciri-citi itu memang ada pada Filzah. Faizal juga faham, Filzah perlu berada di sisi Amirul tatkala ini untuk memberikan semangat dan sinergi kepada Amirul yang sedang menghadapi peperiksaan kini. Subjek Amirul bukan subjek main-mainan yang boleh dihadapi dengan sambil lewa. Dengan ilmu dan ijazah itu nantilah yang akan membentuk masa depan dan kebahagiaan mereka berdua. Tanpa ijazah itu nanti, siapalah Amirul pada ayahanda dan bonda serta keluarga Filzah yang berpendidikan tinggi.
Bagi Amirul, ijazah yang akn diraihnya nanti akan meletakkan dirinya setaraf dan mungkin lebih tinggi dengan Filzah yang berjaya sampai ke menara gading. Dia sedar, tanpa ijazah pada zaman yang serba moden ini, seolah-olah menampilkan imej lelaki yang kurang berjaya, yang kurang daya saing, dan yang kurang cemerlang. Dia juga sedar, seorang suami yang taraf pendidikannya lebih rendah daripada isteri, kemungkinan rasa rendah diri akan memenjarakan jiwa sang suami. Apatah lagi kalau suami tidak berkerjaya – mereka hanya layak duduk di dapur! Hinakah suami bekerja di dapur? Bukankah kerja-kerja di dapur itu sememangnya kewajipan si suami? Masih teringat dia akan kata-kata Ustaz Sulaiman ketika belajar di sekolah agama Arab beberapa tahun yang lalu.
“Ustaz, apa hukumnya suami yang malas bekerja dan asyik meminta duit isterinya?” Zulaikhah berdiri, mengajukan soalan itu kepada Ustaz Sulaiman.
Serentak dengan itu, pelajar-pelajar lelaki “mengeboo” Zulaikhah.
“Hukumnya haram, berdosa.”
“Tapi sekarang ni ramai lelaki yang malas, ustaz!”
Sekali lagi pelajar lelaki “mengeboo” Zulaikhah.
“Awak nanti, janganlah pilih lelaki yang malas menjadi suami awak!” jawab Ustaz sulaiman, bergurau.
Amirul menjeling Filzah yang duduk selari dengannya. Filzah senyum, suka dan bahagia. Tapi aku tak malas, bisik hati Amirul seakan-akan didengari oleh Filzah. Aku akan buktikan, aku akan menjadi suamimu yang baik dan rajin nanti! Percayalah…. Berilah aku peluang; peluang untuk memilikimu.
Kenangan lama hilang tiba-tiba. Amirul terkejut oleh deringan hanfon daripada Erlina. Hehehee… Erlina?

Thursday, April 16, 2009

Puisi Untukmu

Berjam-jam berhari aku boleh
membuka pintu waktu
untukmu birapun pintu itu
terlalu rapat dan sukar

tetapi sesaat pun kau tiada
waktu untuk menjenguk
pintu itu dan memandang aku
kerana kau tiada mata
sebenarnya yang bersinar
luhur untukku

cuma apabila kian senja
dan malam gelap tiba
kau teraba-raba pintu itu
dan mencari aku
yang setia menghulurkan kuncinya

Wednesday, April 15, 2009

Apabila Lampu Padam....

Memang beginilah kehidupan. Dunia ini hanya sebagai pentas, dan Tuhanlah yang menentukan skripnya, manakala otak dan hati kita yang mengarahkan lakonan kehidupan ini. Apabila tirai ditutup, maka berakhirlah sebuah drama, tamatlah sebuah kehidupan. Dan apabila lampu padam, berakhirlah sebuah dunia yang fana ini.Kita akan bertemu sama ada di syurga atau di neraka.
Kehidupan ini memang indah, seronok tetapi amat mencabar. Hanya orang yang berani dan tabah sahaja yang akan berjaya, yang akan menang. Namun, kata Albert Einstein, janganlah anda berusaha untuk menjadi orang yang berjaya, tetapi berusahalah untuk menjadi orang yang berguna. Waoooo… hebat dan mendalam maksudnya itu.
Faizal masih termenung. Itu bukan kali pertama, sejak sekian lama; termenung dan mengelamun ialah hobi dan sebahagian rutin kehidupannya. Baginya, termenung dan berimaginasi amat penting dalam kehidupan. Masih juga dia ingat suatu premis dalam buku Napoleon Hill tentang pemikiran persuasif yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejayaan ialah kuasa imaginasi! Pernah juga dia berangan untuk menjadi ahli falsafah, namun belum kesampaian. Yang kesampaian kini, dia hanya menjadi ahli falasampah….
Dalam imaginasi yang jauh itu, teringat Faizal akan tangis sedu seorang teman lama. Teman lama yang sedang menyiapkan tesis sarjana falsafah. Tempoh biasiswanya hampir tamat, namun tesisnya belum siap. Justeru, dia meminta pertolongan untuk menyelesaikannya. Biarpun tidak berterus terang, namun Faizal tahu akan maksud isi hati temannya itu.
Bukan aku tak nak tolong… keluh Faizal dalam hati. Ini bukan kerja mudah, bukan boleh buat cincai dan sambil lewa sahaja. Ini kena perah otak, kena fokus, perlukan sinergi yang bukan sedikit!
“Tolonglah dia kalau abang boleh tolong. Saya tau awak memang ada kelebihan. Mungkin dia dah tak ada sesiapa lagi yang boleh tolong….”
Teringat Faizal akan kata-kata Filzah. Barangkali Filzah dapat merasakan betapa sukar dan sedihnya perasaan Etiqa ketika itu.
“Bukan abang tak nak tolong….” Faizal menimbang-nimbang, perlukan dia meluahkan siratan rasa dalam hatinya secara berterus terang. “Sebenarnya saya tak suka, orang mencari saya apabila saya diperlukan. Abang rasa orang lain pun begitu juga…. Abang penatlah…. Tapi kalau cakap penat nanti orang kata kita ni tak ikhlas….”
Hening seketika senja itu.
“Di dunia ni, mana ada orang yang ikhlas? Kadang-kadang tu adalah… kadang-kadang pun ada juga orang yang sembahyang tapi tak ikhlas. Yang ikhlas tu biasanya emak dan ayah kita sahaja. Anak-anak pun adakalanya tak ikhlas. Betul tak apa yang abang cakap ni?”
“Mungkin juga,” begitulah ringkasnya ungkapan tanda sokongan. Jarang sekali Filzah menolak pendapat atau lontaran idea Faizal. Biarpun sering besifat radikal, kontroversi dan provokasi, idea dan pemikiran Faizal sering juga sehala dengan Filzah. Dan di sinilah sebenarnya titik persamaan yang mengikat mereka berdua.
Dengan ikatan itu, dan dengan kebijaksanaan dan keistimewaan Filzah, Faizal sering memperoleh sinergi yang kuar biasa!
Namun begitu, masalah Etiqa masih bersemadi di benak Faizal. Ya, aku akan berusaha untuk menjadi orang yang berguna. Dan kejayaan, insya-Allah akan menunggu aku di penghujung sana. Apalah ertinya kehidupan ini jika diri kita tiada manfaat kepada orang lain?

(Teks ini belum diedit)