Saturday, November 21, 2009

Filzah: Dugaan itu Datang lagi

Aku tidak menyangka sama sekali ini yang akan berlaku. Sesungguhnya ini satu dugaan lagi. Aku hampir tidak mampu melarikan diri. Aku memang menolak pelawaan itu, tapi aku terpaksa menolaknya dengan berhemah, dengan berbudi bahasa. Tidak mahu mengguris atau mencalarkan hati sesiapa.
Beginilah hakikat wanita. Wanita yang sering dipersalahkan dalam hal-hal begini. Namun aku mesti bertegas dalam kelembutanku yang seringkali disalah tafsir ini.
“Saya nak ajak awak keluar makan esok. Boleh ya?”
Tergamam aku oleh pelawaan itu. Pun begitu, aku masih menganggapnya sebagai satu ajak-ajak ayam dan gurau sahaja.
“Hmm... pergi makan? Di mana?” Aku cuba menjawabnya dengan sehalus mungkin. Dalam kepalaku, akau akan mengajak Kakak menemani aku supaya aku tidak kekok apabila bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.
Aku tidak menolak dan tidak menyiakan, akhirnya.
Malam itu, aku meminta pandangan Faizal. Dia juga seakan-akan terkejut. Namun, dia tiada halangan. Dia juga mengenali Hamad, seorang tahfiz yang disegani.
Tidak lama kemudian, Hamad menelefon aku. Daripada ayat-ayatnya, aku mentafsirkan bahawa dia akan keluar seorang dan dia mengharapkan aku juga seorang diri. Aduhai..... aku kian serba salah. Aku kian keliru. Aku kian rimas, kian berperasangka....
“Mana boleh saya jumpa ustaz? Nanti apa kata orang? Lagipun saya tak biasa buat macam itu....”
“Baiklah. Saya faham. Kalau begitu, kita jumpa di Melaka atau di Kuala Lumpur sahaja. Nanti saya tunggu...”
Aku kian cemas. Aku mencipta dalih yang boleh dijadikan alas an untuk memutuskan perbualan. Dan akhirnya aku mematikan henfonku dengan sopan.
“Aduh... pening, pening!” keluhku dalam hati.
Seperti biasa, aku segera mengadu kepada Faizal. Faizal gelak-gelak. Aku tak faham apa maksudnya. Dia memberikan pandangannya tanpa prejudis, namun penuh dengan kasih sayang dan lojik sekali.
Malam keesokan harinya, Hamad menelefon aku lagi. Namun aku sudah mengeraskan hati, aku tidak akan keluar dengannya. Aku juga mendapat nasihat emak dan kakakku untuk lebih berhati-hati. Faizal juga melarang aku. Aku gembira, aku mendapat kekuatan menghadapi dugaan ini biarpun secara halus aku menghampakan Hamad al-Hafiz.
Dinihari, aku sujud bertaubat, menadah tangan memohon kekuatan daripada-Nya untuk menghadapi dugaan yang tidak jemu-jemu menyerangku. Dan akhirnya aku terlena di atas sejadah.
Ya Allah, kau ampunilah segala dosaku. Kau kurniakanlah kekuatan kepadaku, hamba-Mu yang kerdil dan lemah ini, ya Allah....

Thursday, November 12, 2009

Faizal: Perlukah Aku Curiga Lagi?

Aku yakin kini. Hari ini telah membuktikan bahawa dia memang menyayangi aku, biarpun dia tidak pernah mengungkapkannya. Benar-banar terasa bahawa ada rindu yang bermaustatin di jiwanya biarpun dia tidak pernah menyerlahkannya.
Pertemuanku dengannya pada petang ini, biarpun agak singkat tetapi penuh bermakna. Dalam kepayahan mengharung onak duri, dia masih sanggup menemuiku dengan menyerahkan sekuntum bunga cinta yang mekar indah dalam gelap.
Setibanya aku di airport, dia sudah menungguku. Aku agak lambat tadi kerana jalan sesak dan terpaksa singgah di stesen petrol. Kebetulan pula pesawat yang dinaikinya mendarat lebih awal daripada yang dijadualkan.
Terima kasih, Filzah. Terharu sangat aku. Dan percayalah, aku akan menghargaimu lebih daripada sebelum ini.

Thursday, November 5, 2009

Maafkan Saya

Malam ini, kami berselisih faham lagi. Pun begitu, seperti biasa konfrontasi kecil-kecilan kami tidak pernah berlarutan. Paling lama setengah hari sahaja. Kami akan cube untuk menyelesaikan apa jua masalah dengan segera. Telus dan berterus terang. Mana-mana yang tidak jelas atau terbuku di dada, akan kami nyatakan, akan kami luahkan. Inilah prinsip komunikasi kami – tidak ingin menyimpan rasa, tidak ingin memeram dendam yang akhirnya tiada sesiapa jua yang untung.
Sebentar tadi, Faizal terasa hati kerana YM-nya lambat dibalas oleh Filzah. Faizal mengutus mesej melalui henfon, tetapi “pending”. Tahulah faizal bahawa Filzah sedang bergayut dengan Amirul menggunakan simkad lain. Faizal tidak menghalang, tetapi dia lebih suka kalau Filzah berterus terang.
Akhirnya, kami bermaafan sebagaimana selalunya.