Friday, May 8, 2009

Berilah Aku Peluang....

Malam ini Filzah berada di sebuah kota, di timur tanah air. Dia berkunjung ke rumah saudaranya di kota itu sebaik sahaja peperiksaan akhir habis dua hari yang lalu. Sambil menziarahi saudara, dapat juga dia bertemu dengan Amirul yang kebetulan menyambung pengajiannya di sebuah kolej dalam jurusan kejuruteraan lanjutan. Mengikut jadualnya, dia berada di kota itu selama tiga hari.
Esok petang dia akan pulang ke kampung. Begitulah maklumat yang disampaikannya kepada Faizal. Dia juga berjanji akan bertemu dengan Faizal setibanya di airport. Faizal juga sudah berjanji akan menunggu ketibaan Filzah biarpun lewat malam. Faizal sudah mengosongkan jadual hariannya, malah telah pun membatalkan satu janji temu yang tidak kurang pentingnya.
“Saya terpaksa balik lewat esok. Tak perlulah tunggu saya. Maaf.” Faizal baru sahaja menerima mesej SMS itu.
Dengan hati yang terbuka dan terpaksa tenang, Faizal menelan mesej itu serasa-rasanya. Sudah lama dia belajar dan berlatih untuk menjadi lelaki yang gagah dan berstamina emosi dan inteleknya. Dia telah mengenali Filzah begitu lama; kenal jiwa dan raganya!
Faizal masih ingat tentang diri Filzah yang dilahirkan dalam bulan November. Menurut buku itu, iaitu menurut kajian metafizik, Filzah mempunyai ciri-ciri seorang wanita yang banyak idea dalam sesuatu perkara; perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-rubah; cara berfikir lain dari orang lain berfikiran kehadapan, unik, banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra; sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia; amanah, dan pandai berahsia; tidak hargai pujian; bercita-cita tinggi; terlalu degil dan keras hati; apabila hendak akan diusahakan sehingga berjaya; kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi kepada sesuatu kehendak; pandai mendorong diri sendiri; berani, pemurah, dan banyak kesabaran mudah ambil berat terhadap orang lain; tak suka marah kecuali tergugat; tidak pasti dengan imbangan kasih sayang; dan tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi. Berdasarkan pengamatan Faizal, ciri-citi itu memang ada pada Filzah. Faizal juga faham, Filzah perlu berada di sisi Amirul tatkala ini untuk memberikan semangat dan sinergi kepada Amirul yang sedang menghadapi peperiksaan kini. Subjek Amirul bukan subjek main-mainan yang boleh dihadapi dengan sambil lewa. Dengan ilmu dan ijazah itu nantilah yang akan membentuk masa depan dan kebahagiaan mereka berdua. Tanpa ijazah itu nanti, siapalah Amirul pada ayahanda dan bonda serta keluarga Filzah yang berpendidikan tinggi.
Bagi Amirul, ijazah yang akn diraihnya nanti akan meletakkan dirinya setaraf dan mungkin lebih tinggi dengan Filzah yang berjaya sampai ke menara gading. Dia sedar, tanpa ijazah pada zaman yang serba moden ini, seolah-olah menampilkan imej lelaki yang kurang berjaya, yang kurang daya saing, dan yang kurang cemerlang. Dia juga sedar, seorang suami yang taraf pendidikannya lebih rendah daripada isteri, kemungkinan rasa rendah diri akan memenjarakan jiwa sang suami. Apatah lagi kalau suami tidak berkerjaya – mereka hanya layak duduk di dapur! Hinakah suami bekerja di dapur? Bukankah kerja-kerja di dapur itu sememangnya kewajipan si suami? Masih teringat dia akan kata-kata Ustaz Sulaiman ketika belajar di sekolah agama Arab beberapa tahun yang lalu.
“Ustaz, apa hukumnya suami yang malas bekerja dan asyik meminta duit isterinya?” Zulaikhah berdiri, mengajukan soalan itu kepada Ustaz Sulaiman.
Serentak dengan itu, pelajar-pelajar lelaki “mengeboo” Zulaikhah.
“Hukumnya haram, berdosa.”
“Tapi sekarang ni ramai lelaki yang malas, ustaz!”
Sekali lagi pelajar lelaki “mengeboo” Zulaikhah.
“Awak nanti, janganlah pilih lelaki yang malas menjadi suami awak!” jawab Ustaz sulaiman, bergurau.
Amirul menjeling Filzah yang duduk selari dengannya. Filzah senyum, suka dan bahagia. Tapi aku tak malas, bisik hati Amirul seakan-akan didengari oleh Filzah. Aku akan buktikan, aku akan menjadi suamimu yang baik dan rajin nanti! Percayalah…. Berilah aku peluang; peluang untuk memilikimu.
Kenangan lama hilang tiba-tiba. Amirul terkejut oleh deringan hanfon daripada Erlina. Hehehee… Erlina?